Isnin, 1 April 2019 | 10:08pm
Pemain Chelsea, Cesar Azpilicueta (kiri) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan ketika menentang Cardiff, semalam. - Foto Reuters
Pemain Chelsea, Cesar Azpilicueta (kiri) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan ketika menentang Cardiff, semalam. - Foto Reuters

Azpilicueta tuntut pemain bersatu

LONDON: Cesar Azpilicueta menggesa rakan sepasukannya supaya menunjukkan sokongan terhadap Maurizio Sarri selepas peminat kelab itu menuntut pemecatan pengurus itu ketika Chelsea meraih kemenangan sukar ke atas Cardiff, semalam.

Gol lewat Azpilicueta dan Ruben Loftus-Cheek menyelamatkan Chelsea daripada kekalahan sekali gus meneruskan pemburuan kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris.

Begitupun, kemenangan 2-1 yang dianggap kontroversi itu tidak dapat menampung persembahan buruk Chelsea yang menyaksikan segelintir penyokong mula menyuarakan kekecewaan terhadap Sarri dan mahu pengurus dari Itali itu disingkirkan.

Sarri mengakui dia memahami reaksi peminat tetapi turut mencipta kontroversi apabila berkata “mungkin lebih baik untuk mereka (peminat) tunggu sehingga perlawanan selesai.”

Bekas pengurus Napoli itu turut meningkatkan rasa marah peminat terhadapnya sebelum perlawanan apabila meletakkan Eden Hazard dan N'Golo Kante di bangku simpanan selain gagal memberikan pemain muda England, Callum Hudson-Odoi penampilan sulung dalam kesebelasan utama di Liga Perdana.

“Kami perlu memberikan peminat apa yang mereka jangkakan dan pada tempoh yang sukar, kami semua perlu bersatu padu,” kata Azpilicueta yang menyarung lilitan kapten.

“Kami tidak gembira dengan cara kami bermain dan kami kehilangan banyak mata, terutama di gelanggang lawan. Kita semua berada dalam kapal yang sama dan akan terus berusaha ke arah yang sama. 

“Saya tahu peminat mahu kami menang, dan apabila tidak mendapat keputusan yang diharapkan, kami semua bertanggungjawab. Mereka menunjukkan perasaan mereka tetapi kerja kami adalah terus bekerja keras.” - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X