Selasa, 2 April 2019 | 11:22am
Maurizio Sarri. - Foto Reuters
Maurizio Sarri. - Foto Reuters

Ujian getir Sarri berdepan Brighton

LONDON: Maurizio Sarri bakal berdepan satu lagi episod hilang kepercayaan daripada penyokong Chelsea sekiranya pengendali dari Itali itu gagal meningkatkan aksi longlai pasukannya apabila berdepan Brighton, awal pagi Khamis ini.

Sarri menjadi subjek kecaman penyokong The Blues di Cardiff, kelmarin sebagai tindak balas prestasi buruk pasukan yang hanya diselamatkan oleh dua jaringan lewat enam minit sebelum berakhir aksi.

Ketinggalan 1-0 di babak kedua selepas dicabar hebat pasukan bawahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, Chelsea dicemuh dengan slogan 'anda tidak tahu apa yang anda lakukan’ dan 'kami mahu Sarri keluar'  daripada sebahagian kecil penyokong pelawat.

Barisan pemain bintang Chelsea yang beraksi di bawah tahap sebenar akhirnya bangkit menjaringkan gol menerusi jaringan 'ofsaid' Cezar Azpilicueta dan Ruben Loftus-Cheek untuk menghadiahkan kemenangan 2-1.

Sejak kemenangan bergaya 2-0 ke atas Tottenham, skuad kendalian Sarri menagih sentuhan cemerlang daripada penjaga gol, Kepa Arrizabalaga untuk menewaskan Fulham 1-0, selain memerlukan jaringan lewat Eden Hazard untuk mengikat Wolves 1-1.

Mereka kemudiannya tumpas 2-0 kepada Everton diikuti persembahan tidak memberangsangkan di Cardiff dengan The Blues dilihat mendominasi permainan tetapi buntu untuk melancarkan serangan berbahaya.

Sarri dipersalahkan atas persembahan hambar itu terutamanya membabitkan aspek posisi pemain dengan N'Golo Kante dan Hazard banyak diarahkan beraksi di luar posisi kebiasaan.

Berbaki tujuh aksi liga, mereka kini ketinggalan satu mata di belakang pasukan tangga keempat, Tottenham dan kapten Chelsea, Azpilicuate menggesa rakan sepasukannya untuk tampil lebih bersemangat apabila menentang Brighton.

"Kami perlu melihat diri sendiri, dan jika kami mahu mencapai sasaran kami perlu pertingkatkan prestasi," katanya.

"Untuk aksi Rabu ini sejak minit pertama kami perlu mencipta suasana yang hebat di atas padang. Saya pasti penyokong akan berada di belakang saya, tetapi kita kena bagi apa yang mereka harapkan - semangat melawan, bola sepak menarik dan jaringkan gol."- AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X