Khamis, 4 April 2019 | 12:48am
Pemain Pahang, Matthew Davis (dua dari kiri) dihalang pemain Persada Integriti Bersatu (PIB FC), Alif Naquiddin Shouffi dalam saingan Piala FA 2019, di Stadium Darul Makmur. - Foto Zulkepli Osman
Pemain Pahang Mohamad Faisal Abdul Halim tersenyum selepas berjaya menewaskan penjaga gol Persada Integriti Bersatu Izzat Abdul Rahim untuk gol keempat pada perlawanan Piala FA di Stadium Darul Makmur malam ini. - Foto BERNAMA

Tok Gajah mara, Sabah tersekat

KUANTAN: Skuad Pahang tidak menghadapi masalah untuk layak ke pusingan ketiga Piala FA apabila menewaskan PIB FC 4-0 di Stadium Darul Makmur, malam tadi. 

Tanpa penyerang berbisa, Dickson Nwakaeme, skuad kendalian Dollah Salleh tidak berdepan kesukaran untuk menafikan kelab Liga M4 melakar kejutan dalam saingan piala berprestij itu. 

Pada perlawanan itu, skuad Tok Gajah memperoleh jaringan pertama menerusi sentuhan pemain tengah, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria seawal minit kelapan. 

Ia disusuli gol kedua oleh penyerang Brazil, Jose Eduardo yang menewaskan penjaga gol PIB, Izzat Abd Rahim minit ke-15 dan jaringan Safuwan Baharudin minit ke-28 untuk menutup aksi 45 minit dengan keputusan 3-0. 

Bersambung babak kedua, Pahang yang juga juara bertahan terus menggandakan asakan ke kubu PIB yang dilihat sukar untuk menutup ruang buat tuan rumah menambah jaringan. 

Dengan prestasi semasa selaku pendahulu Liga Super, skuad Tok Gajah terus menambah derita pasukan berstatus amatur itu dengan menjaringkan gol keempat menerusi pemain tengah, Faisal Halim pada minit ke-60.


Pemain Kelantan United FC, Mohammad Razaimi Azwar Mat Noor dihalang pemain Sabah, Dendy Lowa (kanan) dalam saingan pusingan kedua Piala FA 2019, di Stadium Sultan Muhammad Ke IV. - Foto Syamsi Suhaimi

Di Kota Bharu, pasukan Liga M3, Kelantan United FC mencipta kejutan apabila menang tipis 1-0 bertemu Sabah di Stadium Sultan Muhammad IV.

Sebaik perlawanan bermula Kelantan United FC terlebih dahulu mengasak kubu pelawat dan mendapat jaringan pertama menerusi sepakan percuma Fakhrul Zaman Wan Zawawi pada minit keenam.

Selepas jaringan pertama itu kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan sepakan percuma pemain import Sabah, Taesu Park pada minit ke-35 hanya sedikit melepasi tiang gol tuan rumah.

Empat minit berselang Kelantan United  FC mendapat peluang kedua menerusi penyerang import, Elano Zozimar melalui rembatan namun diselamatkan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim.

Bersambung babak kedua pemain gantian tuan rumah, Fikram Mohamad mendapat peluang keemasan pada minit ke-60 tapi pemain itu mensiakannya walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol, Rozaimie Rohim.

Pada minit ke-64, penyerang import Sabah, Luka Milunovic hampir menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma yang terkena palang gol ketika penjaga gol sudah tertewas sekali gus terselamat kubu tuan rumah.

Kelantan United yang kerap diasak pelawat mampu bertahan dengan baik untuk kekal dengan jaringan 1-0 hingga tamat perlawanan.

Berita Harian X