Khamis, 4 April 2019 | 1:27am
Pemain Kedah Mohd Alif Mohd Yusof cuba menyekat kemaraan pemain Selangor United FC Ranggi Oftawan Osman pada Perlawanan Piala FA, Kedah bertemu Selangor United FC di Stadium Darul Aman malam ini. - Foto BERNAMA

Kedah 'berpeluh' singkir Selangor Utd

ALOR SETAR: Kedah dipaksa bekerja keras sehingga ke masa tambahan sebelum menundukkan Selangor United 3-2 dalam aksi pusingan dua Piala FA di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Pada aksi berkenaan, Kedah terlebih dahulu dikejutkan pelawat apabila pertahanannya Syazwan Tajudin melakukan kesilapan yang membolehkan penyerang Selangor United Norhafizzuan Jailani meledak jaringan gol seawal minit ke-9.

Tersentak dengan gol itu Kedah bangkit membalas serangan melalui percubaan Shakir Hamzah pada minit ke-15 namun sekadar melepasi palang gol.

Tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama, Kedah hampir mendapatkan gol juga melalui Shakir yang membuat larian pantas ke pintu gol lawan tetapi gerakannya berjaya dihalang oleh penjaga gol pelawat Nuraizat Abdul Aziz.

Bersambung babak kedua, kealpaan Kedah sekali lagi dihukum tiga minit selepas perlawanan bermula dengan gol hasil jaringan pemain import Sergio Fabio.


Pemain Kedah, Renan Da Silva Alves (dua dari kanan) berebut bola dengan pemain Selangor United, Muhammad Nazrul Kamaruzaman (kanan) pada Piala FA, di Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid

Gol yang dicari-cari Kedah akhir tercipta pada minit ke-53 apabila pemain import Jonatan Bauman merembat kemas bola menewaskan Nuraizat

Dan Nuraizat sekali lagi tertewas pada minit ke-67 selepas Zaquan Adha bijak mengambil peluang bola muntah yang gagal ditangkap kemas olehnya.

Pada minit ke-75, pelawat mendapat peluang keemasan melalui sepakan penalti selepas penyerang Sergio Fabio dijatuhkan di kawasan penalti namun peluang untuk menambah gol disia-siakan oleh R Thivagar.

Kedudukan seri 2-2 kekal sehingga tamat 90 minit perlawanan dan memaksa aksi diteruskan ke masa tambahan.

Ketika kedua-dua pasukan rancak memburu jaringan, Rodriguez muncul wira Kedah apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-111 sekali gus mara ke pusingan tiga.

Berita Harian X