Khamis, 4 April 2019 | 11:26am
FAZLI Mohammad (tengah) umum perletakan jawatan itu serta merta hari ini susulan tiada kesepakatan bersama Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA). - Foto Kelantan FA Official

CEO Kelantan Red Warriors letak jawatan

KOTA BHARU: Selepas dihimpit dengan pelbagai masalah membabitkan kewangan serta tiada kesepakatan dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Red Warriors (KRW), Fazli Mohammad melepaskan jawatannya serta merta, hari ini.

Peletakan jawatan itu diumumkan dalam satu kenyataan rasminya hari ini.

Dalam kenyataan berkenaan, Fazli turut menyenaraikan beberapa perkara yang menjadi permasalahan kerana tiada kesepakatan dalam pengurusan antara pihaknya dan KAFA.

Fazli berkata, selepas termeterai perjanjian pada 24 Januari 2019, sebuah syarikat diwujudkan dengan KRW menguasai majoriti 70 peratus manakala KAFA menguasai 30 peratus.

Katanya, selepas perjanjian ditandatangani pada 24 Januari 2019, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan wajib menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada KRW termasuk akaun bank; buku cek; dokumen berkaitan kontrak pemain, kontrak penajaan, hutang dan tunggakan gaji bekas pemain seperti mana tercatat dalam perjanjian.

"KRW sedar segala proses penyerahan pasti mengambil masa bergantung kepada selaju mana pihak Bibi Ramjani dan KAFA menguruskan segala dokumen untuk penyerahan kuasa.

"Saya juga pernah tegaskan dalam satu pertemuan bertarikh 6 Mac bersama Bibi Ramjani, Timbalan Presiden KAFA Datuk Affendi Hamzah, Naib Presiden KAFA, Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir yang mana saya akan menarik diri dan membatalkan perjanjian yang ditandatangan kerana sudah tidak boleh berkompromi dengan sikap acuh tak acuh dan sikap sambil lewa serta tidak serius KAFA dalam penyerahan kuasa dan dokumen-dokumen seperti yang diminta," katanya.

Menurutnya, pada 2 Februari, KRW bersetuju untuk meminjamkan sejumlah wang untuk membantu membayar gaji pemain skuad Liga Premier Kelantan menggunakan cek akaun syarikat kami sendiri.

“Selepas itu, KAFA mengatakan segala hutang lama dan gaji pemain yang sedia ada perlu dituntut dengan KRW sedangkan mereka belum menyerahkan segala dokumen dan akaun bank yang masih dikuasai Bibi Ramjani Ilias.

"Tanpa akaun bank dan tanpa buku cek syarikat semestinya tiada kemasukkan wang dan pembayaran dapat diselesaikan yang pasti ia (KRW) tetap dipersalahkan demi menutup kelemahan pihak lain,” katanya.

KRW ditubuhkan dengan kerjasama sebuah syarikat MyInspiration Sdn Bhd dan KAFA bagi memantapkan lagi pengurusan bola sepak Kelantan ke arah yang lebih profesional.

Namun, angin perubahan berlaku selepas beberapa permasalahan muncul antara dua entiti ini seterusnya menyebabkan prestasi pasukan turut terjejas.

Dalam kenyataan sama, Fazli turut mendedahkan pihaknya sudah membelanjakan RM400,000 bagi menguruskan pasukan dalam tempoh dua bulan.

"Walaupun RM1 pihak saya tidak pernah mengambil ataupun menerima dari pihak KAFA malahan pihak saya dan rakan sudah meminjamkan dan mendahulukan beberapa bayaran bagi pihak KAFA berjumlah mencecah RM400,000 dalam tempoh masa dua bulan ini,” katanya.

Fazli turut mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih pihak yang sentiasa memberi sokongan.

"Selamat maju jaya buat pengurusan KAFA, Insya-Allah pengurusan yang profesional dapat meletakkan kembali skuad Kelantan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pasukan hebat yang lain dalam Liga Malaysia (Liga-M) ini.

"Saya dengan rendah diri meletak jawatan saya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KRW dan Naib Presiden KAFA berkuat kuasa serta merta," katanya.

Berita Harian X