Jumaat, 5 April 2019 | 9:14pm
Dr Mahathir (tiga dari kanan) bersama dengan Syed Saddiq (kanan) Hamidin, Infantino, Windsor dan Tashima (kiri) selepas menerima kunjungan mereka di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.
Dr Mahathir (tiga dari kanan) bersama dengan Syed Saddiq (kanan) Hamidin, Infantino, Windsor dan Tashima (kiri) selepas menerima kunjungan mereka di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

FAM, JFA jalin kerjasama

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) di Putrajaya, dekat sini, hari ini.

Memorandum itu antara lain bertujuan mewujudkan rangka kerja bagi mengukuhkan kerjasama teknikal dan belia selain menggalakkan pertukaran pengetahuan dalam pendidikan kejurulatihan dan pentadbiran kedua-dua pihak.

Disamping itu, ia juga bagi membuka ruang pembangunan demi kepentingan bersama termasuk kem latihan skuad kebangsaan, pendidikan kejurulatihan, pembangunan pengadil, pembangunan teknikal dan belia, bola sepak wanita dan futsal serta pertukaran pentadbiran berkaitan pengkomersialan dan penjanaan pendapatan.

Majlis menandatangani Mou itu berlangsung selepas delegasi pemimpin bola sepak yang diketuai oleh Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di pejabatnya di Putrajaya.

Infantino diiringi oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin selain Presiden JFA, Kohzo Tashima dan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John.

Mengulas mengenainya, Hamidin mengakui gembira dapat menjalin kerjasama dengan JFA dan percaya ia bukan hanya memperkukuhkan ikatan yang sedia wujud di antara kedua-dua negara, malah menjadi titik permulaan penting dalam usaha memartabatkan bola sepak negara.

“Bagi pihak FAM, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana memberikan kami peluang berkongsi pandangan dengan beliau. Kami yakin sebagai pemimpin yang memulakan Dasar Pandang Ke Timur, Tun Dr Mahathir menyokong projek ini.

“Dengan kejayaan layak ke Piala Dunia FIFA secara berturut-turut sejak 1998 dan muncul juara Piala Dunia Wanita FIFA, Jepun pasti menawarkan peluang yang tidak terbatas untuk kita belajar," katanya.

Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Hamidin (kanan) dan Tashima bertukar dokumen MoU sambil disaksikan oleh Syed Saddiq, Infantino dan Windsor di Putrajaya, hari ini.
Hamidin (kanan) dan Tashima bertukar dokumen MoU sambil disaksikan oleh Syed Saddiq, Infantino dan Windsor di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Kohzo Tashima berkata, MoU itu akan membuka lagi peluang dalam menyediakan platform pembangunan bagi memperkasakan dan mengukuhkan jalinan persahabatan yang sememangnya sudah wujud antara FAM dan JFA.

“Menandatangani MoU ini selepas kunjungan hormat kepada Tun Dr Mahathir adalah satu tanda sokongan hebat daripada kerajaan Malaysia, sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan Malaysia menjadikan bola sepak sebagai agenda negara.

“Sebagai langkah permulaan, kami ingin menjemput Perdana Menteri, Menteri Belia dan Sukan serta FAM untuk sesi lawatan sambil belajar ke Jepun," katanya.

Berita Harian X