Khamis, 11 April 2019 | 3:41pm
Lee Tuck mengakui tidak sabar untuk merobek gawang Kedah dalam aksi di Stadium Darul Aman, malam esok. - Arkib NSTP

'Rooney Ganu' tak sabar kecewakan Kedah

KUALA TERENGGANU: Selepas terpaksa berehat pada dua perlawanan terakhir akibat kecederaan, arkitek skuad Terengganu FC (TFC), Lee Tuck mengakui tidak sabar untuk merobek gawang Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, malam esok.

Pemain berdarah kacukan Malaysia-England yang diberi gelaran 'Rooney Ganu' itu juga menyatakan dia sudah bersedia menebus kehampaan pasukannya ketika dimalukan pasukan kelab, PKNP FC di laman sendiri Sabtu lalu.

"Kecederaan bahagian belakang makin baik dan saya tak sabar kembali membantu pasukan mengharungi saingan liga bertemu Kedah malam esok,” katanya mengulas pertemuan TFC dengan Kedah.

"Bagaimanapun saya perlu menunggu keputusan daripada pegawai perubatan dan barisan jurulatih esok, sama ada saya mampu bermain dan benar-benar cergas atau perlu berehat lagi," katanya.

Dalam dua aksi terakhir iaitu bertemu PKNP FC dalam saingan Liga Super dan Ultimate FC (pusingan kedua Piala FA), pemain yang bakal menjadi pemain tempatan itu terpaksa direhatkan kerana mengalami sakit bahagian belakang dan sukar bernafas.

Mengulas lanjut, bekas pemain import Negeri Sembilan itu mengharapkan rakan sepasukannya kembali bangkit memburu kemenangan selepas tumpas dua kali berturut-turut dalam saingan Liga Super kepada Selangor 0-1 dan terbaharu PKNP FC 1-2.

"Kita perlu kembali menang dan harus bermain lebih baik serta bijak berbanding perlawanan terdahulu bagi mengutip mata penuh selepas ketinggalan 11 mata dengan pendahulu liga JDT (Johor Darul Tazim).

"Rakan sepasukan juga harus kekal positif dalam saingan liga yang kian sengit, kami perlu menang ke atas Kedah untuk berada di kedudukan liga lebih baik, tetapi jika tewas pasukan boleh jatuh ke bawah liga kerana tiga mata mampu memberi perbezaan yang besar," kata Tuck.

Sementara itu Pemangku Ketua Jurulatih TFC, Mohamad Nik menyatakan Tuck dan Kipre Tchetche berada dalam senarai 18 pemain bertemu skuad Kedah nanti.

"Bagaimanapun sama ada dua pemain itu akan diturunkan atau tidak akan ditentukan esok kerana kami mahukan kemenangan untuk pulih moral dan kesetiaan penyokong," katanya.

Berita Harian X