Jumaat, 12 April 2019 | 11:31pm
PEMAIN Kedah, Jonatan Jesus Bauman (kiri) berebut bola dengan pemain Terengganu FC, Nasrullah Haniff Johan pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, sebentar tadi. - Foto Amran Hamid

Kedah tambah derita Terengganu

ALOR SETAR: Kedah memastikan tiga mata dikutip di laman sendiri selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-0 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Skuad Lang Merah yang dibimbing penolong jurulatih Victor Andrag mengasak awal menerusi Jonatan Bauman memperoleh dua peluang membuka jaringan, tetapi tidak menemui sasaran.

Amirul Hisyam Awang Kechik hampir meletakkan Kedah di depan pada minit ke-18 namun percubaannya sekadar menggegar palang.

Minit ke-24, Kedah mendapat sepakan penalti selepas pemain sayap Farhan Roslan dijatuhkan pertahanan TFC Nasrullah Hanif, dan Bauman memanfaatkan sepakan untuk gol pembukaan.


PEMAIN Kedah, Baddrol Bakhtiar (kiri) diasak pemain Terengganu FC, Khairul Anwar Shahrudin pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, sebentar tadi. - Foto Amran Hamid

Kedah menambah jaringan menerusi Zaquan Adha Abd Radzak pada minit ke-32 selepas menerima hantaran daripada Farhan.

Bermula babak kedua TFC hampir merapatkan jurang apabila hantaran ke belakang Kedah disambar Sanjar Shaakhmedov, namun kepantasan Shakir Hamzah berjaya mematahkan serangan berkenaan.

Kipre Tcheche turut terlepas peluang pada minit ke-66 apabila percubaannya sekadar melencong ke sebelah kiri gawang Kedah.

Kedah menambah derita TFC menerusi Fernando Rodriguez pada minit ke-72 yang merembat kencang bola hantaran Farhan.


PEMAIN Terengganu FC, Nasrullah Haniff Johan pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid

Berita Harian X