Ahad, 14 April 2019 | 7:17pm

'PKNP FC tak boleh terlalu yakin'

SERI MANJUNG: Kemenangan yang diraih menerusi ‘gol nasib’ ketika menumpaskan Melaka United (MU) 1-0 dalam aksi Liga Super semalam jelas tidak boleh membuatkan PKNP FC merasa selesa, kata Penolong Ketua Jurulatih, Chan Wing Hoong.

Sekali pun keputusan melonjak pasukan itu daripada kedudukan tiga tercorot kepada tangga ketujuh Liga Super ketika ini, Wing Hoong berkata momentum empat kemenangan berturut-turut termasuk tiga perlawanan itu harus dikekalkan.

Justeru, dia mengingatkan pemain supaya tidak hilang fokus, terlalu yakin dan terlalu teruja dengan prestasi semasa pasukan berstatus kelab itu kerana jadual perlawanan yang bakal dihadapi masih panjang.

Ia termasuk melayan kunjungan PDRM di gelanggang sama Stadium Majlis Perbandaran Manjung dalam saingan Piala FA, Rabu ini.

Mengulas perlawanan malam semalam, Wing Hoong berpuas hati dengan kerja keras, semangat juang dan disiplin taktikal yang tinggi ditunjukkan pemain sepanjang 90 minit di atas padang.

Dia mengakui kemenangan itu diperoleh daripada gol 'nasib' atau gol bertuah hasil jaringan sendiri bekas pemain kelab itu, Ahmad Khuzaimi Piee yang tertampan hantaran lintang Yashir Pinto pada minit ke-66.

"Sepuluh minit pertama, kami berhadapan dengan tekanan sepakan percuma dan tendangan sudut yang mana kita tahu MU sangat bahaya dengan dua jenis sepakan ini.

"Safiq Rahim boleh mengambil tendangan sudut yang cantik manakala penyerang pelawat, Anselmo Da Silva amat berbahaya dengan tandukan," katanya sambil mengakui bangga dengan kemampuan anak didiknya menyerap tekanan itu dan kembali mengekalkan keseimbangan dalam permainan itu.

Sementara itu, 10 mata daripada sembilan perlawanan yang dikutip selepas kemenangan dengan MU meletakkannya PKNP setakuk di atas pasukan 'abang' iaitu Perak yang ketika ini memperoleh sembilan mata daripada lapan perlawanan.

Wing Hoong dalam pada itu berharap tempoh masa tiga hari mampu memulihkan kembali kecergasan pemain dan tiada sebarang kecederaan serius agar momentum kemenangan berterusan ketika berhadapan PDRM.

Berita Harian X