Isnin, 15 April 2019 | 11:04am
JURULATIH baharu Kelantan, Yusri Che Lah kembali kemudi TRW. - Foto Owee Ah Chun

Yusri ganti Kraljevic kemudi TRW

KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) melantik semula bekas pengendali Kelantan, Yusri Che Lah menggantikan Marko Kraljevic yang ditamatkan kontrak.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata, pihaknya membuat keputusan itu selepas melihat Yusri adalah calon paling layak untuk mengendalikan Kelantan selepas ketiadaan Kraljevic.

"Selepas ketiadaan Kraljevic bersama pasukan baru-baru ini, saya meminta Yusri kembali mengendalikan pasukan bagi persiapan perlawanan seterusnya.

“Bekas jurulatih Kuala Lumpur itu sudah menandatangani kontrak semalam dan memulakan tugas sebaik sahaja tamat menjalani kursus kejurulatihan Pro A di Kuala Lumpur.

“Saya berharap barisan pemain dapat bekerjasama dengan Yusri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, Yusri akan dibantu penolong jurulatih, Kamaruddin Mohammad sebagai persiapan perlawanan seterusnya menentang Negeri Sembilan di laman sendiri, Jumaat ini.

Musim lalu, Yusri yang menggantikan Fajer Ibrahim berjaya membawa Kelantan ke suku akhir Piala Malaysia namun mengambil keputusan meninggalkan pasukan itu untuk menyertai Kuala Lumpur pada awal musim ini.

Bagaimanapun, jodohnya bersama skuad warga kota itu hanya bertahan selama tiga bulan apabila meletak jawatan pada 10 Mac lalu susulan prestasi buruk The Hawks pada awal musim.

#kw yusri, trw, liga super

 

 

1893 dibaca
Berita Harian X