Selasa, 16 April 2019 | 11:47pm
Pemain Import Kedah, Renan Da Silva Alves meraikan jaringan pertama pada perlawanan Shopee Piala FA diantara Kedah menentang Petaling Jaya City FC, di Stadium Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam

Kedah singkir PJ City

ALOR SETAR: Kedah mara ke suku akhir Piala FA apabila menewaskan Petaling Jaya City FC (PJ City) 2-0 di Stadium Darul Aman malam tadi.

Dua gol yang disumbangkan Renan Alves dan Zaquan Adha itu berjaya meneruskan momentum kemenangan Kedah di hadapan ribuan penyokong yang hadir memberi sokongan. 

Kedah meledak gol pembukaan seawal minit kedua berpunca daripada tendangan sudut Baddrol Bakhtiar yang disambut dengan tandukan Fernando Rodriguez ke ruang tengah sebelum dikuis masuk Alves.

Pada minit ke-25, Kedah sekali lagi mencemaskan pintu gol PJ City melalui pemain tengahnya Jonatan Bauman susulan hantaran silang Azmeer Yusof namun cubaannya melepasi palang gol.


Pemain Kedah, Mohammad Zaquan Adha Abd Razak (kiri) diasak Ketua Pasukan Petaling Jaya City FC, Tinagaran Baskeran pada perlawanan Shopee Piala FA diantara Kedah menentang Petaling Jaya City FC, di Stadium Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam

PJ City cuba mencari gol melalui percubaan Pedro Henrique selang dua minit kemudian tetapi tandukannya ke ruang kanan pintu gol Kedah berjaya ditangkap kemas penjaga gol Ifwat Akmal. 

Tuan rumah menambah gol kedua berpunca gerakan solo Zaquan Adha yang menggelecek  ke dalam kotak penalti lawan sebelum melepaskan rembatan padu ke gawang PJ City pada minit ke-58.

PJ City cuba melakukan beberapa gerakan bahaya yang diketuai oleh Safee Sali namun pertahan Kedah yang ditunjangi Alves kebal menahan asakan pelawat.

 

 

1937 dibaca
Berita Harian X