Rabu, 17 April 2019 | 9:45am
Pemain tengah Brighton, Solly March (kiri) cuba mengasak pemain Cardiff City, Joe Bennett dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Brighton. - Foto AFP

Atasi Brighton, Cardiff sambung nyawa

BRIGHTON, United Kingdom: Cardiff mengekalkan harapan mereka untuk terus memburu tempat dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim depan apabila menewaskan pesaing yang turut bergelut mengelak penyingkiran, Brighton 2-0.

Skuad kendalian Neil Warnock mungkin berada di ambang penyingkiran sekiranya tewas di Stadium Amex awal pagi tadi.

Tetapi gol di setiap babak daripada Nathaniel Mendez-Laing dan Sean Morrison merapatkan jurang Cardiff yang berada di tangga ketiga tercorot liga kepada hanya dua mata dengan Brighton yang masih selamat di atas garis penyingkiran.

Brighton hanya berjaya meledak dua gol Liga Perdana di laman sendiri tahun ini dan empat kekalahan liga berturut-turut meletakkan mereka dalam risiko dipintas Cardiff.

Harapan yang tinggal buat Brighton ialah mereka masih berbaki lima perlawanan berbanding Cardiff hanya empat.

Tottenham, Arsenal dan Manchester City antara lawan besar yang bakal dihadapi Brighton, manakala Cardif berdepan Liverpool dan Manchester United.

“Ada beberapa pemerhati mengatakan yang ini adalah perlawanan terakhir kami dalam Liga Perdana tetapi kami masih bernyawa,” kata Warnock.

“Kami berhak dengan kemenangan malam ini. Pemain-pemain cukup hebat bagi saya malam ini.

“Kami terselamat daripada perangkap dan menikmatinya. Perjuangan kami belum berakhir.”

Pengendali Albion Chris Hughton berkata: “Ia masih di tangan kami, tetapi ia perasaan yang sukar kerana keputusan ini.

“Tugas saya ialah menaikkan kembali semangat. Kami perlu mengatasinya dengan bersatu hati dan memastikan kami sukar ditewaskan.” - AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X