Rabu, 17 April 2019 | 3:44pm
SETIAUSAHA Agung FAM, Stuart Ramalingam. - NSTP/Owee Ah Chun

FAM sedia bantu Timor Leste

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya kemungkinan tidak akan terbang ke Dili, Timor Leste sekiranya venue yang bakal digunakan di negara berkenaan tidak melepasi syarat untuk mengendalikan sesebuah perlawanan antarabangsa termasuk aksi playoff kelayakan Piala Dunia 2022.

Aksi pertama akan berlangsung di Malaysia pada 6 Jun ini dan mengikut jadual yang dikeluarkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Timor Leste dijadualkan jadi tuan rumah kepada Harimau Malaya pada 11 Jun.

Sekiranya venue di Timor Leste tidak melepasi syarat dan lawan itu berhajat meneruskan perlawanan kedua di Malaysia, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia tampil membantu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalinggam berkata ketika ini pihaknya masih menunggu perkembangan terbaharu daripada badan induk bola sepak Timor Leste.

“Belum pasti lagi. Kita tunggu dan tengok dulu situasi terkini berkenaan venue di Timor Leste.

“Jika venue ‘tidak lepas’, kita sedia berbincang. Apa pun sebarang keputusan di tangan mereka sama ada untuk adakan perlawanan di Malaysia atau pun di venue berkecuali,” katanya ketika ditemui pada majlis undian playoff kelayakan Piala Dunia 2022 di Rumah AFC, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Malaysia bukan negara asing buat Timor Leste dan mereka pernah menjadikan stadium di negara ini sebagai gelanggang rasmi mereka dalam beberapa perlawanan.

Malah sebelum ini juga, skuad The Rising Sun pernah menjadikan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebagai ‘rumah’ mereka ketika aksi playoff kelayakan Piala Asia 2019.

Berita Harian X