Khamis, 18 April 2019 | 12:11am

PKNP tumbangkan PDRM di Manjung

 

SERI MANJUNG: PKNP FC mara ke suku akhir Piala FA selepas menang tipis 3-2 mengatasi PDRM di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, di sini, sebentar tadi.  

Gol pertama PKNP dijaringkan Yashir Pinto apabila melepasi perangkap ofsaid sebelum menyambut hantaran lambung Mohd Hafiz Ramdan seterusnya merembat ke penjuru kiri gawang lawan pada minit ke-16.  

Pelawat bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi Patrick Ronaldinho enam minit kemudian.  

Gol itu terhasil menerusi serangan balas pantas dengan ketua pasukan, Shahurain Abu Samah melorongkan bola dari sebelah kanan yang mudah dikuis masuk Ronaldinho.  

Pelawat menambah gol kedua seawal minit pertama separuh masa kedua menerusi Muhamad Fauzan Muhamad Fauzi yang menanduk masuk bola melantun yang terkena palang ketika keadaan kelam kabut di depan gawang PKNP.  

Pemain gantian, Mohamad Fazrul Hazli Mohd Kadri bagaimanapun kembali menceriakan penyokong tuan rumah pada minit ke-74 apabila menanduk masuk bola hantaran Thomas Abbey dari sebelah kiri.  

Tendangan percuma Hafiz Ramdan dari luar kotak penalti pada minit ke-88 menerjah rendah di sudut kiri gawang lawan bagi menghasilkan gol ketiga tuan rumah.

Berita Harian X