Khamis, 18 April 2019 | 6:35pm

Penyu ada strategi perangkap FELDA United esok

KUALA TERENGGANU: Pemangku Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohamad Nik enggan melakukan sebarang eksperimen terhadap pemainnya apabila berdepan FELDA United dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam esok.

Sebaliknya, bekas pemain tengah skuad kebangsaan itu menyatakan, strategi mujarab bakal diterapkan untuk menjerat skuad The Fighters itu.

"Kita terpaksa mengenepikan pertahanan tengah, Nasrullah Hanif Johan apabila melayani kunjungan FELDA kerana pemain itu digantung satu perlawanan selepas menerima tiga kad kuning.

"Bagaimanapun saya tidak mahu mengambil risiko dengan melakukan eksperimen terhadap pemain bagi mengelak mereka tertekan kerana kita mahukan kemenangan selepas tumpas pada tiga perlawanan terakhir liga.

"Pesanan saya kepada mereka, elak kena gol awal sebagaimana perlawanan sebelum ini. Sebaliknya kita perlu mencari gol awal bagi menyuntik semangat kerana sedar skuad lawan kini semakin meningkat" katanya yang berharap anak buahnya kembali bangkit dalam perlawanan ke-10.

Mengulas kelibat arkiteknya, Lee Tuck yang baharu pulih daripada kecederaan belakang badan, Mohamad menegaskan pemain itu kini kembali cergas dan mampu beraksi sehingga 90 minit perlawanan bertemu FELDA nanti.

"Ketika menentang Kelantan United tempoh hari, Tuck tidak begitu cergas. Namun kita tidak ada pilihan kerana khidmatnya diperlukan dalam perlawanan itu, tapi malam esok dia sudah kembali cergas sepenuhnya.

"Saya juga mengharapkan penyerang, Kipre Tchetche lebih tajam di depan gol. Saya berkeyakinan motivasinya kian memuncak selepas berjaya meledak gol peribadi pertama musim ini ketika bertemu Kelantan United pada Selasa lalu," katanya.

Berita Harian X