Sabtu, 20 April 2019 | 5:11pm
PEMILIK Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Akhirnya 'bos besar' bersuara

KUALA LUMPUR: Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akhirnya bersuara selepas tiga hari skuad Harimau Selatan tersingkir daripada saingan Piala FA musim ini.

JDT tersingkir di pusingan ketiga Piala FA selepas dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada PKNS di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Rabu lalu.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam kenyataannya di Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, hari ini mengakui tetap kagum dengan persembahan anak buah Benjamin Mora meskipun terpaksa akur terlepas Piala FA.

"Pertama sekali, saya sangat kagum dengan corak permainan kami sewaktu beraksi dengan 10 pemain menentang PKNS. Kami meletakkan hampir semua pemain tempatan dan bukannya pemain luar negara.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PKNS kerana mengejutkan harimau yang sedang tidur. Malam ini (berdepan PKNS dalam Liga Super), kita akan melihat sesuatu yang berbeza," katanya.

Kad merah yang diterima Kiko Insa seawal minit ke-11 jelas merencatkan permainan JDT dan jaringan penyerang import PKNS, Kpah Sherman pada minit ke-48 sudah cukup untuk membawa Semut Merah ke suku akhir Piala FA.

Lebih manis buat Sherman, ia adalah kemenangan kedua buat dirinya di Larkin selepas turut membantu MIFA melakar kejutan dengan kemenangan 2-1 ke atas JDT dalam saingan Piala Malaysia musim lalu yang menyaksikan dia turut menyumbang satu gol pada perlawanan itu.  

Kekalahan Rabu lalu juga menyaksikan JDT hanya sempat beraksi satu perlawanan dalam Piala FA musim ini selepas mendapat 'bye' pada pusingan kedua.

9166 dibaca
Berita Harian X