Sabtu, 20 April 2019 | 11:17pm
Pemain Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayuddin (dua kanan) menghalang pemain PJ City FC, Elizeu Araujo De Melo Batista pada perlawanan Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Kuala Lumpur makin garang

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur meneruskan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super selepas menewaskan PJ City FC 1-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Ia kemenangan kedua skuad bimbingan Chong Yee Fatt dalam saingan liga musim ini selepas mengejutkan Kedah 2-1 di gelanggang sama pada 6 April lalu.

Biarpun kekal di kedudukan tercorot, namun kemenangan itu membolehkan Kuala Lumpur berkongsi tujuh mata dengan pasukan tangga ke-11, FELDA United FC dan hanya satu mata di belakang PJ City yang menghuni kedudukan ke-10.

PJ City terlebih dahulu mencemaskan kubu Kuala Lumpur menerusi percubaan jarak dekat Safee Sali tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol, Faridzuean Kamaruddin pada minit ke-30.

Pemain Kuala Lumpur Muhamad Arif Mohamed Anwar (kanan) cuba mendapatkan bola dari pemain PJ City FC, Bae Beomgeun pada perlawanan Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Percubaan terbaik Kuala Lumpur di babak pertama hanya hadir pada minit ke-45 menerusi rembatan dari luar kotak penalti Guilherme De Paula yang ditampan penjaga gol, Muhaimin Mohamad.

Kuala Lumpur akhirnya berjaya mendapatkan gol pendahuluan selepas lima minit bersambung babak kedua apabila rembatan deras Ashri Chuchu terkena pemain PJ City, Aizulridzwan Razali sebelum singgah di palang gol dan menerjah jaring.

Indra Putra Mahayuddin melepaskan peluang untuk menambah jaringan kedua buat Kuala Lumpur selepas gagal menampan kemas hantaran silang Arif Mohamed Anwar pada minit ke-68.

PJ City juga cuba bangkit dengan beberapa gerakan terutama pada penghujung perlawanan namun gagal untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X