Sabtu, 20 April 2019 | 11:25pm
Penjaga gol Negeri Sembilan gagal menangkap percubaan dari penuerang Kelantan untuk jaringan gol pertama dalam pertemuan Liga Perdana di Stadium Sultan Mohd Ke V. - Foto Fathil Asri

Kelantan kena belasah di Kota Bharu

KOTA BHARU: Kelantan masih buntu meraih kemenangan di laman sendiri apabila dibelasah Negeri Sembilan 2-5 pada aksi Liga Perdana di  Stadium Sultan Muhammed IV, sebentar tadi.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu menguji gawang Negeri Sembilan menerusi sepakan deras David Rowley pada minit keenam namun tertampan pertahanan pelawat.

Peluang terbaik skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris hadir pada minit kesembilan menerusi Ferris Danial Mat Nasir namun sepakannya sedikit tersasar.

Selang tiga minit, skuad Hobin Jang Hobin berjaya mencipta jaringan pendahuluan menerusi Ferris Danial yang bertindak memperdayakan pemain pertahanan Kelantan dengan melakukan sepakan deras di sebelah penjuru kiri sekali gus menewaskan penjaga gol, Damien Lim.

Pada minit ke-15 sepakan percuma penyerang import dari Afghanistan, Mustafa Zazai dari luar kotak penalti  menerjah rendah di sudut kiri gawang lawan bagi menghasilkan gol penyamaan tuan rumah.


Penyerang Kelantan, Flavio Beck Junior diasak pertahanan Negeri Sembilan, dalam pertemuan Liga Perdana di Stadium Sultan Mohd Ke V. - Foto Fathil Asri

Ferris Danial sekali lagi menambah koleksi jaringan peribadinya apabila meledak gol kedua pada minit ke-43 selepas mudah merembat masuk bola dalam kawasan kotak penalti pasukan The Red Warriors (TRW).

Bersambung babak kedua perlawanan, Ferris Danial melakar hatrik pada minit ke-50 apabila menyudahkan hantaran lintang dengan melakukan rembatan leret menewaskan Damien.

Selang empat minit, Jose Neto sekali lagi menghukum kealpaan barisan pertahanan TRW apabila menjaringkan gol keempat menerusi rembatan deras dalam kawasan penalti.

Pada minit ke-56, Mohammad Ridzuan Abdunloh yang membuat larian solo melakukan rembatan deras menewaskan Damien Lim buat kali kelima.

TRW mendapat satu lagi gol sagu hati pada minit ke-90 menerusi pemain gantian Mohamad Hakimi Abdullah yang melakukan sepakan leret hasil larian solo.

 

2861 dibaca
Berita Harian X