Sabtu, 20 April 2019 | 11:36pm
Reaksi Pengurus Manchester City, Pep Guardiola sejurus tamat perlawanan menentang Tottenham Hotspur pada saingan Liga Perdana Inggeris, malam tadi. - Foto Reuters

Saya sendiri tak mampu buat - Guardiola

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata sebagai pemain, dia mungkin tidak berupaya melakukan seperti apa yang dibuat oleh anak buahnya iaitu menewaskan Tottenham sejurus penyingkiran memilukan di Liga Juara-Juara.

City mengucapkan selamat tinggal dalam kancah elit Eropah itu sekali pun meraih kemenangan ke atas Spurs, pertengahan minggu ini dan mereka menewaskan lawan yang sama dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Kemenangan 1-0, yang diperoleh menerusi jaringan tunggal pemain berusia 18 tahun, Phil Foden sudah cukup bagi memastikan City merampas kedudukan teratas liga mengatasi Liverpool dalam pemburuan kejuaraan.

“Dua hari lalu amat sukar buat kami,” kata Guardiola. “Kami boleh tewas pemburuan Liga Perdana hari ini, selepas hari yang sukar pada Khamis lalu.

“Sebagai pemain, saya mungkin tidak dapat melakukan apa yang pemain saya lakukan hari ini. Pemburuan gelaran masih dalam tangan kami.”

Guardiola berkata dia tidak memaksa pemainnya untuk mengadaptasi sesuatu perkara bagi menangani penyingkiran menyakitkan di Liga Juara-Juara yang menyaksikan kemaraan City dinafikan Video Bantuan Pengadil (VAR).

“Saya memberitahu pemain-pemain saya jika mereka sudah melupakan apa yang berlaku, ia bagus tetapi jika ia tetap menyakitkan, ia juga bagus,” kata bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu.

Perlawanan di Etihad malam tadi berlangsung cukup sengit yang menyaksikan kedua-dua pasukan berpeluang menjaringkan gol.

“Kedua-dua pasukan memiliki pemain yang menakjubkan. Ia benar-benar perlawanan yang amat sukar terutama dari sudut mental selepas penyingkiran pada Khamis lalu,” katanya. - Reuters

3479 dibaca
Berita Harian X