Ahad, 21 April 2019 | 1:21am
Pemain West Ham, Jack Wilshere bersaing denan pemain Licester City, Wilfred Ndidi pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, malam tadi. - Foto Reuters

Fulham buat kejutan, Leicester lega

LONDON: Leicester City dua kali bangkit daripada ketinggalan sebelum mengikat West Ham 2-2 ketika kelab yang sudah pun tersingkir, Fulham menewaskan Bournemouth 1-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Selepas ketinggalan menerusi jaringan Michail Antonio pada babak pertama, penyerang England Jamie Vardy menyamakan kedudukan buat Leicester pada minit ke-67 tetapi West Ham kembali mendahului menerusi gol Lucas Perez lapan minit sebelum aksi berakhir.

Tetapi ketika skuad kendalian Brendan Rodgers itu bagaikan terpaksa menempuh kekalahan, mereka diselamatkan menerusi jaringan Harvey Barnes pada masa kecederaan.

“Jelas perasaan yang bagus untuk menjaringkan gol, ia sesuatu yang sudah lama saya nantikan,” kata Barnes.

Pada aksi di Vitality Stadium, Fulham meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan liga selepas menewaskan Bournemouth 1-0  dengan jaringan tunggal perlawanan diledakkan oleh Aleksandar Mitrovic menerusi penalti.


Pemain Bournemouth, Callum Wilson (tengah) merembat ke arah gawang Fulham pada aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris, malam tadi. - Foto Reuters

Kemenangan pertama Fulham di gelanggang lawan musim ini itu turut merosakkan perlawanan ke-500 pengendali Bournemouth, Eddie Howe sebagai pengurus.

Sementara itu, kelab yang bersaing mengelak penyingkiran, Brighton & Hove Albion berjaya memperoleh satu mata selepas diikat tanpa jaringan oleh Wolverhampton Wanderers.

Pada aksi di Stadium Molineux itu, keputusan seri menyaksikan Brighton kini memiliki kelebihan tiga mata di atas satu lagi kelab bergelut, Cardiff City dengan kedua-dua pasukan sudah mengharungi 34 perlawanan. 

Di Stadium John Smith, dua gol Gerard Deulofeu pada kedua-dua babak permainan menyaksikan Watford menewaskan Huddersfield Town 2-1 sekali gus menguatkan peluang kelab itu untuk bersaing di pentas Eropah, musim depan. - Agensi

1721 dibaca
Berita Harian X