Ahad, 21 April 2019 | 9:00am
TONGGAK Chelsea, N'Golo Kante (L) tuntut rakan sepasukan pamer aksi padu menjelang pertemuan menentang Burnley. - Foto EPA

Amaran Kante buat Chelsea

LONDON: N'Golo Kante memberi amaran supaya Chelsea memperbaiki aksi hambar babak kedua dalam usaha mereka menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris dalam kelompok empat teratas menjelang pertemuan dengan Burnley esok.

Skuad kendalian Maurizio Sarri mara ke separuh akhir Liga Europa Khamis lalu dengan kemenangan 4-3 ke atas Slavia Prague.

Tetapi perlawanan yang sepatutnya berakhir mudah tuan rumah apabila mendahului 4-1 sebelum rehat, bertukar tegang apabila Slavia meledak dua kali di babak kedua.

Ia bukan kali pertama Chelsea tampil lalai di babak kedua dalam kempen kali ini, beberapa hari sebelum itu Liverpool juga menjaringkan dua gol selepas rehat untuk kemenangan 2-0.

Everton melakukan perkara sama ketika menewaskan Chelsea pada Mac dan pemain tengah Perancis Kante mengakui pasukannya tidak boleh terus melakukan kesilapan sama sekiranya mahu layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Chelsea di tangga kelima hanya berbeza jaringan dengan Arsenal di tangga keempat, dan kunjungan Burnley ke Stamford Bridge harus dimanfaatkan sepenuhnya.

Sasaran Chelsea ialah memintas Tottenham di tangga ketiga, yang kini hanya satu mata di atas mereka selepas tewas kepada Manchester City semalam. 

“Ia sesuatu yang berlaku banyak kali musim ini dan kami perlu memperbaikinya. Kami sedang berusaha ke arah itu,” kata Kante.

“Kami boleh menjadikan musim ini indah dengan memenangi Liga Europa.” – AFP

 

Berita Harian X