Ahad, 21 April 2019 | 7:11pm
Pemain Kuala Lumpur, Guilherme De Paula Lucrecio (kanan) diasak oleh pemain PJ City FC pada perlawanan Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam. - Foto Nurul Shafina Jemenon

'Tak cantik tapi menang'

KUALA LUMPUR: Jurulatih Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt mengakui anak buahnya tidak mempamerkan permainan 'cantik' ketika menewaskan Petaling Jaya City (PJ City) 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Boalsepak Kuala Lumpur, malam semalam.

Dia bagaimanapun tetap berterima kasih kepada barisan pemainnya apabila berjaya mendapatkan tiga mata berharga dalam usaha membawa pasukan keluar daripada zon penyingkiran. 

"Ia bukan permainan yang cantik, tapi kami dapat apa yang kami nak iaitu tiga mata. Pemain berjuang dengan baik sepanjang 90 minit dan mendapatkan keputusan positif.

"Sejak ambil alih (pasukan) kami ada mengadakan perbincangan dengan pemain dan bertukar pandangan mengenai apa masalah yang mempengaruhi persembahan kami.

"Jadi, kami mendapat keputusan yang positif dari perbincangan itu dan semua pemain kini sudah membuktikan kemampuan pasukan," katanya.

Kemenangan itu adalah yang kedua diraih skuad City Boys dalam Liga Super musim ini selepas menundukkan Kedah pada 6 April lalu.

Sementara itu, jurulatih PJ City, K Devan pula menjelaskan ketumpulan jentera serangan menyudahkan beberapa peluang terhidang menjadi punca pasukannya tewas.

"Kita ada banyak peluang untuk menjaringkan gol, saya rasa penyudah kurang baik. Kalau tidak sekurang-kurangnya kita dapat satu mata. Kita menguasai permainan tapi bila dapat peluang kita tak boleh jaringkan gol. 

“Memang saya sangat kecewa dengan keputusan yang kita dapat," katanya.

Berita Harian X