Isnin, 22 April 2019 | 8:25am
PEMAIN Liverpool, Mohamed Salah diasak pemain Cardiff, Sean Morrison pada aksi Liga Perdana Inggeris di Cardiff. - Foto AFP

Terjunan Salah, Warnock beri 9.9 markah

CARDIFF, United Kingdom: Pengendali Cardiff Neil Warnock merasakan terjunan Mohamed Salah sehebat penerjun British Tom Daley selepas pemain Mesir itu memenangi penalti dalam kemenangan 2-0 Liverpool di ibu kota Wales.

Salah bergelut dengan kapten Cardiff Sean Morrison di dalam kotak penalti, tetapi cara dia menjatuhkan diri membuatkan Warnock membandingkan pemain terbaik Liga Perdana Inggeris tahun lalu itu dengan pemenang pingat gangsa acara terjun Olimpik, Daley.

“Kami membuka peluang untuknya bukan? Dia memang ditarik,” kata Warnock. “Tetapi di akhirnya adalah 9.9 mata Tom Daley (merujuk kepada pemarkahan terjunan). Saya tidak rasa dia mampu melakukan terjunan lebih baik daripada itu.”

James Milner menyempurnakan sepakan penalti sembilan minit sebelum tamat permainan untuk mengesahkan kemenangan Liverpool yang melonjak semula mereka ke puncak Liga Perdana.

Salah turut dikritik kerana terlalu mudah jatuh dalam usahanya mendapatkan penalti ketika menentang Newcastle dan Chelsea awal musim ini.

Bagaimanapun pengendali Liverpool Jurgen Klopp mempertahankan pemainnya itu.

“Saya rasa tidak ragu-ragu lagi. Jika pertahanan menggunakan tangan empat atau lima kali, ia adalah penalti,” kata Klopp. – AFP

 

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X