Sabtu, 27 April 2019 | 11:24pm
PEMAIN PJ City, Ganiesh Gunasegaran mengasak pemain Terengganu FC, Adin Aizuddin Ab Latif (kiri) dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ. - Foto Owee Ah Chun

TFC bangkit atasi PJ City FC

 

KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) bangkit daripada ketinggalan sebelum meraih kemenangan 2-1 ke atas Petaling Jaya (PJ) City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan TFC kekal di kedudukan ketujuh liga, namun berkongsi 15 mata bersama PKNS FC dan Melaka United yang menghuni tangga kelima dan keenam.

Malang bagi PJ City apabila impian mereka menjarakkan diri daripada zon penyingkiran tidak kesampaian apabila kekal di kedudukan ke-10 selepas mengumpul lapan mata bersama dua pasukan tercorot - FELDA United dan Kuala Lumpur. 


PEMAIN PJ City, Rajes Perumal (dua dari kiri) meraikan jaringan gol bersama Mohd Safee Mohd Sali (kiri) ketika menentang Terengganu FC dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ. - Foto Owee Ah Chun

Anak buah K Devan terlebih dulu membuka tirai jaringan pada minit ke-35 selepas hantaran Safee Sali di dalam kotak penalti disudahkan dengan rembatan deras P Rajes.

TFC terpaksa menunggu hingga minit ke-66 untuk menyamakan kedudukan apabila B Tinagaran tertampan bola ke gawang sendiri ketika berlaku kelam kabut di depan pintu gol PJ City.

Kipre Tchetche kemudian menceriakan kem TFC apabila meledak gol kedua pada minit ke-78, sekali gus memastikan tiga mata berharga menjadi milik skuad Penyu.

1058 dibaca
Berita Harian X