Sabtu, 27 April 2019 | 11:30pm
PEMAIN Perak, Brendan Gan Seng (dua kiri) meraikan jaringan gol pertama Perak bersama rakan sepasukan ketika menentang PKNP dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. - Foto Muhaizan Yahya

Perak menang besar atasi PKNP FC

 

SERI MANJUNG: Perak mencatat kemenangan selesa apabila menumpaskan PKNP FC 4-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, di sini, sebentar tadi.

 

Ini adalah kemenangan kedua juara Piala Malaysia itu daripada 11 perlawanan liga musim ini yang sebelum ini hanya merakam tujuh seri dan dua kekalahan.  

Gol pertama Perak dihasilkan menerusi Brendan Gan pada minit ke-14 selepas menerima hantaran Mohd Nor Hakim Hassan dari sebelah kiri. 

Jaringan kedua Perak diperoleh menerusi rembatan Gilmar da Silva pada minit ke-30 dengan ia terhasil apabila pemain pertahanan tuan rumah gagal mengeluarkan bola depan gawang selepas percubaan Brendan Gan ditepis Ahmad Asraaf Omar.  

Pelawat terus menambah derita PKNP pada minit ke-56 menerusi jaringan Shahrul Saad yang mudah menolak masuk selepas keadaan kelam kabut di depan gawang hasil sepakan sudut Wander Luiz.  


PEMAIN Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (kiri) bersaing mendapatkan bolad dengan pemain PKNP, Amani Santos Aguinaldo dalam saingan Liga Super menentang PKNP di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. - Foto Muhaizan Yahya

Gilmar da Silva menambah jaringan Perak selepas menanduk masuk hantaran lintang pemain gantian, Muhammad Firdaus Saiyadi dari sebelah kanan pada minit ke-90. 

Terdahulu, PKNP berpeluang mendahului perlawanan menerusi Giancarlo Lopez tetapi rembatannya di sudut kanan gawang pada minit kesembilan ditepis Muhammad Hafizul Hakim.  

Perak membuat percubaan pada minit ke-25 apabila Mohd Nor Hakim yang membuat larian solo dari tengah padang ke dalam kotak penalti tetapi rembatannya ditepis Ahmad Asraaf.  

Gilmar da Silva berpeluang menambah gol peribadi pada minit ke-86 tetapi sepakan penalti diambilnya melepasi palang gol.

Berita Harian X