Ahad, 28 April 2019 | 7:48pm
PENCAPAIAN dilakar Muhamnad Azeem Mohd Fahmi dianggap hebat. - Foto NSTP

Hamberi khuatir Azeem tak tahan lama

 

KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih olahraga negara, Hamberi Mahat menggesa pihak berkepentingan dapat membantu memantau serta menyelia prestasi jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi.

Bagi Hamberi ia penting kerana pencapaian dilakar Azeem boleh dianggap ‘meletup’ terlalu awal apatah lagi ketika usianya baru menjengah 15 tahun.

Malah bekas atlet kebangsaan itu khuatir pencapaian itu tidak dapat bertahan lama seperti mana terjadi kepada atlet-atlet sebelum ini, termasuklah raja pecut, Khairul Hafiz Jantan.

"Pada pendapat saya, terlalu awal untuk Azeem mencatat masa terbaik. Jadi lebih baik Majlis Sukan Negara (MSN), Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) ataupun Kementerian Pendidikan (KPM) yang mempunyai kepakaran dalam bidang latihan turut membantu," kata Hamberi kepada BH Sukan.

“Bukan mengatakan jurulatih lakukan benda salah, tapi mungkin ia boleh menambah baik latihan kerana Azeem adalah bakat terbaik yang kita ada.”

Mengulas lanjut, Hamberi yang kini bertidak selaku jurulatih kecergasan Maybank di Kuala Lumpur menegaskan, pencapaian Azeem memang luar biasa, namun berdepan risiko tinggi.

Jelasnya, jika atlet muda didedahkan dengan latihan berintensiti tinggi, mereka akan mencapai usia matang lebih awal daripada sepatutnya.

"Memang luar biasa tapi kita kena terima hakikat yang pelari kita tak akan bertahan selepas usia 25 tahun...ada yang tak kena dengan sistem kita.

"Jika kita berhajat mahu mendapatkan atlet bertaraf dunia, memang Azeem orang yang sesuai, cuma jika dia berterusan lakukan catatan masa pada usia muda, sampai bila dia akan bertahan?," kata Hamberi sambil mengakui tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak.

Azeem adalah atlet yang mencatatkan kepantasan 10.63 saat (s) ketika beraksi dalam acara pecut 100 meter (m) Bawah 15 tahun (B-15) pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor, baru-baru ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Perak itu juga memenangi emas acara lompat jauh lelaki serta 200m dalam masa sama memecahkan rekod kejohanan dalam semua acara disertainya.

2101 dibaca
Berita Harian X