Isnin, 29 April 2019 | 7:03pm
SETIAUSAHA Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berucap pada Sidang Kemuncak Bolasepak Dunia (WFS) Asia, hari ini. - Foto BERNAMA

AFC sedia timbang hasrat FAM

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sedia mempertimbangkan hasrat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menunda aksi play-off kelayakan Piala Dunia berdepan Timor Leste pada Jun ini.

Berdasarkan kenyataan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam sebelum ini, pihaknya berhasrat untuk mengemukakan permohonan menunda aksi pertama yang sepatutnya berlangsung pada 6 Jun kepada 7 Jun.

Namun, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Bolasepak Dunia (WFS) Asia, hari ini mengesahkan badan induk itu belum menerima apa-apa permohonan daripada FAM untuk menunda perlawanan berkenaan.

"Bagi menunda perlawanan yang sudah dijadualkan, biasanya kami akan mendapatkan persetujuan daripada kedua-dua pasukan. Kami belum terima apa-apa permohonan dan kami mendapat permohonan, sudah pasti kami akan melihatnya (untuk pertimbangan),” kata Stuart.

"Tapi mereka perlu tahu jika mahu mengubah tarikh, mereka perlu lakukan dengan cepat kerana ia membabitkan urusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Jadi untuk buat perubahan, mereka kena hantar surat kepada kami."

Selain itu, Windsor turut mengesahkan belum menerima pengesahan daripada Timor Leste berkenaan venue bagi aksi kedua yang akan berlangsung pada 11 Jun ini.

Sementara itu, Stuart menjelaskan pihaknya perlu menunggu untuk Timor Leste mengesahkan venue aksi kedua kepada AFC sebelum FAM boleh mengemukakan permohonan menukar tarikh perlawanan kepada badan induk itu.

"Tarikh 30 April (esok) adalah tarikh akhir bagi mengesahkan venue perlawanan dan bukannya memutuskan tarikh perlawanan. Bila venue sudah ditetapkan baru kita boleh bincang mengenai tarikh perlawanan," katanya.

Berita Harian X