Selasa, 30 April 2019 | 2:09pm
SETIAUSAHA Agung FAM, Stuart Ramalingam. - Foto Amirudin Sahib

FAM tunggu surat Timor Leste

PETALING JAYA: Permohonan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengubah tarikh aksi pertama ‘play-off’ Kelayakan Piala Dunia 2022 hanya dapat dilakukan selepas Timor Leste mengeluarkan surat pertukaran venue terlebih dahulu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan Timor Leste akan mengeluarkan surat terbabit kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi menyatakan persetujuan mereka secara rasmi untuk melangsungkan aksi kedua di Malaysia, dijangka hari ini.

“Mereka perlu memaklumkan AFC terlebih dahulu di mana mereka akan beraksi di sini bagi aksi kedua ‘play-off’ dan selepas kami menerima surat itu, kami akan menghantar surat ke AFC untuk penukaran tarikh.

“Permohonan itu membabitkan pindaan tarikh aksi pertama daripada 6 Jun kepada 7 Jun dan mungkin kita akan ketahui maklumat rasmi mengenai perkara ini pertengahan minggu hadapan.

“Ini proses yang perlu dilalui memandangkan FAM tidak boleh mengeluarkan surat untuk Timor Leste. Ini kerana persetujuan adalah daripada Timor Leste dan bukannya FAM,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Bolasepak Dunia Asia (WFSA) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai persidangan yang bakal menutup tirainya hari ini, Stuart mengharapkan semua ahli gabungan badan induk itu memanfaatkan pengalaman yang diperolehi bagi membantu perkembangan bola sepak di negara ini.

“FAM mengharapkan adanya perubahan daripada segi ‘mindset’ dan bukan itu sahaja, WFSA menawarkan jaringan dengan pelbagai individu dalam bola sepak di seluruh dunia.

“Kita perlu bekerjasama untuk mengukuhkan lagi industri bola sepak kita dan itu adalah antara keutamaan FAM masa ini,” katanya.

Berita Harian X