Selasa, 30 April 2019 | 11:08pm
PEMAIN Kedah, Fernando Rodriguez Ortega (kiri) membuat menjaringkan gol pertama dalam aksi Piala FA Malaysia 2019 antara Kedah menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam. - Foto Sairien Nafis

Piala FA: Kedah bawa bekal selesa

 

SHAH ALAM: Kedah meraih bekalan selesa dari Stadium Shah Alam selepas menewaskan PKNS FC 3-1 pada aksi suku akhir pertama Piala FA, sebentar tadi.

Anak buah Aidil Sharin Sahak hanya memerlukan 12 minit untuk berada di depan menerusi penyerang dari Sepanyol, Fernando Rodriguez yang menyudahkan umpanan Farhan Roslan.

Skuad Helang Merah mengukuhkan kedudukan selepas Jonatan Bauman menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-25.

Lima minit kemudian, nasib malang terus menimpa Semut Merah apabila pemain pertahanan Tamirlan Kozubaev dilayangkan kad merah oleh pengadil Mohammad Zamzaidi Katimin kerana mengasari Farhan.

Seminit sebelum berakhir babak pertama, gawang PKNS bocor lagi selepas Bauman meledak gol kedua peribadinya untuk meletakkan Kedah selesa mendahului 3-0.

PKNS bagaimanapun berjaya merapatkan jurang gol selepas Gabriel Guerra bijak menyudahkan hantaran Romel Morales pada minit ke-64.

Selepas itu, kedua-dua pasukan mendapat beberapa peluang namun gagal disudahkan dengan jaringan sekali gus menyaksikan kedudukan 3-1 memihak Kedah kekal hingga tamat perlawanan dan aksi kedua akan berlangsung di Stadium Darul Aman, 10 Mei ini.

Berita Harian X