Rabu, 1 Mei 2019 | 7:33am
PENYERANG import Perak, Gilmar Jose Da Silva Filho (kiri) dikekang pemain PKNP FC, Amani Santos Aguinaldo (kanan) dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. - NSTP/Abdullah Yusof
PENYERANG import Perak, Gilmar Jose Da Silva Filho (kiri) dikekang pemain PKNP FC, Amani Santos Aguinaldo (kanan) dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. - NSTP/Abdullah Yusof

Piala FA: Perak, PKNP seri

MANJUNG: Perak dan PKNP FC terikat tanpa jaringan pada pertembungan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini sebentar tadi.

PKNP FC nyata menunjukkan aksi lebih bertenaga malam ini berbanding persembahan longlai sehingga dibelasah empat gol tanpa balas pada saingan Liga Super oleh pasukan sama di sini tiga hari lalu.

Pasukan tuan rumah terlebih dulu berpeluang menjaringkan gol seawal minit ke-16 tetapi tendangan Giancarlo Lopez tidak cukup padu untuk menumpaskan Muhammad Hafizul Hakim.

Empat minit kemudian, gawang tuan rumah pula hampir dibolosi menerusi rembatan Gilmar da Silva dari luar kotak penalti tetapi bola menerjah palang walaupun Ahmad Asyraaf Omar kelihatan sudah tertewas.

Peluang terbaik tuan rumah kemudian hadir pada minit ke-25 apabila hantaran Mohamad Al-Fateh Mohd Afandi tepat kepada Thomas Abbey tetapi tendangannya melepasi palang walaupun hanya berdepan Muhammad Hafizul Hakim.

Lima minit kemudian Brendan Gan melakukan larian di sebelah kanan sebelum melakukan rembatan yang ditepis Ahmad Asyraaf Omar.

Pada minit ke-35, rembatan Shahrel Fikri dalam kotak penalti pula mengenai palang.

Dua minit selepas itu, hantaran lambung Shahrel Fikri pula gagal disempurnakan dengan kemas oleh Brendan Gan.

Tiga puluh lima minit babak kedua tidak banyak mempamerkan aksi menarik oleh kedua-dua pasukan dengan peluang terbaik diperolehi PKNP FC menerusi Thomas Abbey pada minit ke-81 dan 85 tetapi diselamatkan Muhammad Hafizul Hakim.

Berita Harian X