Jumaat, 3 Mei 2019 | 11:38pm
Pemain Kedah, Jonatan Bauman (kiri) mengawal bola sambil diasak pemain Kuala Lumpur, Ryutaro Karube (tengah) pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman. - NSTP/Amran Hamid

Dendam Kedah berbalas

ALOR SETAR: Kedah membuktikan keupayaan sebenar apabila menewaskan Kuala Lumpur 5-2 pada aksi ke-12 Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Kemenangan itu juga dianggap kejayaan dalam misi 'balas dendam' terhadap kekalahan 1-2 ketika bertemu Kuala Lumpur di Stadium Kuala Lumpur awal bulan lalu.

Kedah memecah kebuntuan pada minit ke-21 hasil larian pantas Jonatan Bauman yang mendapat hantaran jauh pemain pertahanan, Renan Alves seterusnya menewaskan penjaga gawang Kuala Lumpur Sharbinee Allawee. 

Kedah sekali lagi menceriakan penyokongnya apabila menambah gol kedua pada minit ke-41 menerusi tandukan mudah pertahanan, Shakir Hamzah yang mendapat hantaran daripada Farhan Roslan dari kanan pintu gol Kuala Lumpur. 

Kuala Lumpur yang tidak mudah berputus asa menemui sentuhan gol di hujung babak pertama bermula dengan kesilapan penjaga gawang Kedah, Ifwat Akmal yang gagal mengeluarkan bola tinggi dihantar dari tengah dan kesempatan itu diambil Indra Putra Mahayuddin untuk merapatkan jurang gol.

Babak kedua Kedah sekali lagi menunjukkan ketajamannya apabila menghasilkan gol ketiga pada minit ke-67 menerusi tandukan Fernando Rodriguez selepas mendapat umpanan Zaquan Adha Abd Radzak.

Kuala Lumpur kembali merapatkan jaringan menerusi Guilherme De Paula pada minit ke-77 yang menolak masuk bola hantaran Ryutaro Karube namun Fernando Rodriguez sekali lagi menambah derita Kuala Lumpur pada minit ke-80 apabila menyempurnakan hantaran Jaonatan Bauman dengan tandukan menewaskan Sharbinee Alawee.

Seminit sebelum tamat masa perlawanan, Jonatan Bauman menyempurnakan malam sempurna Kedah dengan gol kelima hasil hantaran jauh Baddrol Bakhtiar.

Berita Harian X