Sabtu, 4 Mei 2019 | 1:11am
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola. - Foto AFP
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola. - Foto AFP

Jangan ketepikan Liverpool - Guardiola

MANCHESTER, United Kingdom: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola sudah bersedia dalam pemburuan gelaran Liga Perdana hingga penghujung dan memberi amaran hari ini bahawa Liverpool masih belum boleh diketepikan selepas kekalahan dalam Liga Juara-Juara di Barcelona.

City hanya mencicirkan 16 mata sepanjang musim dan berbaki dua perlawanan, mereka hanya satu mata di depan skuad kendalian Jurgen Klopp, yang tewas 3-0 di Camp Nou awal pagi Khamis lalu dan akan berdepan Newcastle United serta Wolverhampton Wanderers selain perlawanan kedua bertemu Barca di Anfield.

Sementara itu City mendapat rehat secukupnya bagi bersedia menghadapi dua perlawanan, di laman sendiri berdepan Leicester City awal pagi Selasa ini dan di tempat lawan, Brighton pada Ahad.

Ditanya sama ada kekalahan kepada Barcelona memberi kesan kepada usaha Liverpool mencari gelaran Liga Perdana, Guardiola berkata: “Saya tidak rasa begitu.”

“Perlawanan pada Rabu lalu sangat bagus. Liverpool menakjubkan. Kedua-dua pasukan hebat.

“Saya tidak rasa ia akan memberi kesan kepada mereka, mereka bertarung dengan hebat musim ini, saya rasa ia akan ke perlawanan lain (terakhir). Saya rasa bukanlah sesuatu yang mudah di Newcastle tetapi mereka akan bersedia untuk menang di sana.”

City akan berdepan Leicester yang sudah menang enam daripada sembilan perlawanan liga sejak Brendan Rodgers disahkan sebagai pengurus pada 26 Februari. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X