Sabtu, 4 Mei 2019 | 11:40am
Pemain Chelsea, Jorginho (kiri) bersaing dengan pemain Eintracht Frankfurt, Sebastian Rode pada perlawanan suku akhir pertama Liga Europa, Khamis lalu. - Foto EPA

Jorginho pasti menyerlah: Azpilicueta

LONDON: Cesar Azpilicueta menjangkakan Jorginho pasti akan menutup mulut pengkritiknya kerana pemain tengah Chelsea itu sedang menuju kemuncak prestasinya menjelang pertemuan penting dengan Watford esok.

Jorginho mengharungi musim pertama yang sukar di Chelsea selepas persembahan hambarnya yang berselindung di sebalik hubungan kuat dengan pengendali Blues Maurizio Sarri mencetus rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat.

Sarri membawa masuk Jorginho dari Napoli akhir musim lalu selepas mengenal pasti kelemahan di bahagian tengah Chelsea.

Pengendali 60 tahun itu percaya pemain Itali berkenaan adalah pilihan tepat untuk melaksanakan taktikal permainannya selepas kejayaan mereka di Serie A.

Bagaimanapun ia tidak berhasil di Chelsea, dengan N’Golo Kante tidak lagi beraksi di posisi kegemarannya, bergelut menyesuaikan diri dengan ‘Sarri-ball’, sekali gus menjurus kepada kritikan dilemparkan ke atas Jorginho dan pengurusnya.

Namun kapten Chelsea Azpilicueta yakin Jorginho masih mempunyai nilai dalam pasukan dan mendakwa pemain itu memainkan peranan penting dalam keputusan seri 1-1 pada perlawanan separuh akhir pertama Liga Europa di Eintracht Frankfurt Khamis lalu.

Jorginho pemain penting buat kami,” kata Azpilicueta. “Ada ketika anda bergelut kerana keputusan tidak baik dan ia bermakna kami tidak melakukan tugas dengan sempurna.

“Tetapi ini musim pertamanya di England, kali pertama di kelab baharu. 

“Ini adalah perlawanan penting buatnya. Dia semakin menyesuaikan diri dan mula mengawal permainan, mencipta lebih ruang untuk jentera serangan.

“Setiap kali mendapat bola dia akan membuat hantaran dan bergerak ke depan. Kami juga mendapat lebih banyak ruang di depan kami.”

Kini Chelsea kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris melayan kunjungan finalis Piala FA, Watford di Stamford Bridge.

Kedudukan di tangga keempat yang menjamin kelayakan ke Liga Juara-Juara musim depan akan sah menjadi milik skuad kendalian Sarri jika mereka berjaya menewaskan Watford dan Leicester pada dua perlawanan terakhir mereka.

Chelsea kini mengatasi Arsenal di tangga kelima dengan kelebihan dua mata, dengan kedua-dua pasukan itu turut berpeluang layak ke Liga Juara-Juara musim depan dengan memenangi saingan Liga Europa musim ini. – AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X