Sabtu, 4 Mei 2019 | 7:06pm
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam. - Foto Danial Saad

AFC lulus permohonan FAM, FFTL

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) meluluskan permohonan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bola Sepak Timor Leste (FFTL) untuk menunda tarikh aksi pertama play-off kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dari 6 kepada 7 Jun depan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam juga mengesahkan AFC turut meluluskan permohonan FAM dan FFTL untuk mengadakan kedua-dua perlawanan timbal balik itu di Kuala Lumpur.

Katanya, kelulusan terhadap kedua-dua permohonan itu dimaklumkan oleh AFC kepada FAM, semalam.

"Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk aksi pertama pada 7 Jun dan aksi kedua, 11 Jun akan menjadi aksi tuan rumah bagi Timor Leste," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Hari Bolasepak Akar Umbi AFC 2019 di Kompleks Sukan PKNS, hari ini.

"Gelanggang yang dicadangkan FAM adalah Stadium Nasional Bukit Jalil untuk digunakan bagi kedua-dua aksi itu. Ia sudah dipersetujui antara FAM dan Timor Leste.

"Stuart turut mengesahkan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe akan mengharungi aksi persahabatan berdepan Nepal pada 2 Jun sebagai persediaan untuk berdepan Timor Leste, tetapi gelanggang yang akan digunakan masih belum diputuskan.

Dalam perkembangan sama, Stuart menjelaskan pihaknya akan mengumumkan mengenai harga tiket untuk aksi berdepan Nepal dan Timor Leste selepas mesyuarat Jawatankuasa Tiket dan Stadium, minggu depan.

"Jawatankuasa itu akan bincangkan strategi dan harga tiket, hanya selepas mereka buat keputusan barulah kami akan maklumkan perkembangan," katanya.

Berita Harian X