Ahad, 5 Mei 2019 | 6:50pm
PEMAIN PJ City, Pedro Henrique Costes Oliveira Gios (kanan) diasak pemain Pahang, Muhamad Nor Azam Abdul Azih pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam. - Foto Eizairi Shamsudin

Import baharu, Muhaimin kunci kejayaan PJ City

PETALING JAYA: Keberkesanan dua pemain import baharu dan aksi tangkas penjaga gol, Mohd Muhaimin Mohamad jadi faktor utama kemenangan 2-0 Petaling Jaya City FC (PJ City) ke atas Pahang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam.

Selepas jendela perpindahan kedua dibuka Khamis lalu, pengendali pasukan, K Devan pantas membawa masuk dua penyerang baharu Washington Brandao Dos Santos dan Pedro Henrique Costes Oliveira Gios.

Selain itu, faktor nasib tidak menyebelahi skuad Tok Gajah juga menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan yang menyaksikan PJ City  'menghadiahkan' kekalahan pertama Pahang dalam saingan Liga Super musim ini.

"Kemasukan dua penyerang baharu menjadikan fungsi setiap posisi pasukan bertambah baik. Selepas mendapatkan gol kedua, kami lebih banyak bertahan dalam tempoh 25 hingga 30 minit.

"Tindakan cemerlang penjaga gol kami juga berjaya menyekat percubaan bahaya yang dicipta Pahang. Mungkin Pahang tidak bernasib baik," kata Devan ketika ditemui selepas tamat perlawanan semalam.

Pada perlawanan kelmarin, tuan rumah membuka jaringan menerusi Pedro pada minit ke-30 diikuti jaringan kedua daripada Sergio Paulo Filho, minit ke-57.

Devan turut menyifatkan kemenangan ke atas 'gergasi' Liga Super itu sebagai suntikan semangat untuk anak buahnya tampil lebih baik pada baki saingan selepas ini.

Dalam masa sama, Devan juga berharap dua awang import baharunya itu dapat segera perbaiki kelemahan sekali gus memastikan aksi lebih baik.

"Kemenangan ke atas Pahang sudah tentu beri keyakinan kepada pasukan untuk hadapi perlawanan seterusnya. Dua import ini pun dapat peluang untuk tampil lebih baik daripada segi kecergasan dan persefahaman antara rakan sepasukan lain," katanya.


PEMAIN PJ City, Washington Brandao Dos Santos (kiri) mengasak pemain Pahang, Herold Mark Goulon pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam. - Foto Eizairi Shamsudin

Berita Harian X