Isnin, 6 Mei 2019 | 9:47pm
BEKAS penyerang FELDA United, Ifedayo Olusegun. - Foto Farizul Hafiz Awang
BEKAS penyerang FELDA United, Ifedayo Olusegun. - Foto Farizul Hafiz Awang

ASFC puji tindakan FAS

KUALA LUMPUR: Penyokong Red Giants memuji tindakan pantas Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengikat pemain import baharu walaupun jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) baru dibuka, Khamis lalu.

FAS menggunakan sepenuhnya peluang pada jendela kedua kali ini dengan membawa masuk bekas penyerang FELDA United, Ifedayo Olusegun bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Rufino Segovia.

Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid menyifatkan tindakan FAS itu tepat pada masanya ketika skuad Red Giants bergelut mencari penyudah berkualiti selepas Segovia dibelenggu kecederaan panjang.

"Tentunya berita baik buat penyokong yang sangat berharap penyerang tulen mengisi kekosongan yang ditinggalkan Rufino selepas pemain Sepanyol itu dijangka memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga atau empat bulan lagi untuk pulih.

"Selangor seolah-olah hilang taring di depan gol selepas ketiadaan Rufino dan kami sebagai penyokong berharap pengganti dia mampu memikul tugas sebagai mesin gol pasukan.

"Kami juga sangat berharap kesilapan mengikat Antonio German sebagai penyerang di awal musim tidak berulang ke atas Ifedayo," katanya kepada BH Sukan.

BH Sukan, semalam melaporkan pengurus pasukan Selangor, Datuk Abdul Rauf Ahmad mengesahkan FAS membatalkan pendaftaran Segovia untuk mendaftarkan Ifedayo.

Bagaimanapun, FAS masih tetap menunggu Segovia untuk pulih sepenuhnya selain pada masa yang sama memantau keadaan serta prestasi seorang lagi pemain import Red Giants, Endrick Dos Santos.

Ia kerana Selangor yang kini sudah memenuhi kuota lima pemain import perlu menggugurkan seorang pemain (bukan kuota ASEAN) jika mahu mendaftarkan Segovia semula.

Selain itu Mohd Faizal berkata, skuad Selangor perlu diberikan masa untuk membentuk kombinasi paling mantap kerana ramai pemain baharu yang dibawa masuk musim ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X