X
Khamis, 9 Mei 2019 | 1:54pm
VACH Pillutla
VACH Pillutla

Barangan eksklusif Liverpool kini di Al-Ikhsan Sports

KUALA LUMPUR: Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd memperkenalkan jersi 'home' kelab bola sepak Liverpool (LFC) bagi musim 2019/20 di Football Republic, Sunway Piramid, hari ini.

Sebagai syarikat yang mendapat lesen mengedarkan barangan kelab Liga Perdana Inggeris itu, Al-Ikhsan Sports akan meneruskan jelajah memperkenalkan jersi terbaru The Reds ke empat lagi lokasi termasuk di Johor Bahru, Kuantan, Kuala Terengganu dan Alor Setar hingga 18 Mei ini.

Malah, peminat The Reds juga kini boleh membeli jersi pertama atau 'home' serta barangan eksklusif Liverpool di 27 rangkaian Al-Ikhsan Sports di semenanjung Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports, Vach Pillutla menjangkakan akan mendapat sambutan baik daripada peminat di negara ini terhadap jersi dan barangan ekslusif LFC.

Malah, beliau berkata, hubungan yang terjalin bersama kelab terkemuka itu juga bukan saja mengenai perniagaan tetapi turut akan memberi manfaat kepada pembangunan bola sepak Malaysia.

"Selain menjual produk kepada orang ramai, kami juga akan melihat peluang untuk mengadakan akademi Liverpool di Malaysia.

"Kami harap satu hari nanti kita dapat lihat akademi LFC di Malaysia. Konsepnya untuk pembangunan akar umbi iaitu dengan membawa jurulatih dari LFC bagi melatih pemain muda di sini," katanya.

Selain itu, Al-Ikhsan Sports turut melancarkan laman media sosial mereka yang mula diaktifkan hari ini yang menyaksikan pelanggan yang membeli barangan rasmi LFC di cawangan syarikat terbabit layak menyertai peraduan 'LFC Road to Glory' yang menyediakan pelbagai hadiah menarik.

Berita Harian X