Isnin, 13 Mei 2019 | 8:31am
Reaksi perancang Manchester United Paul Pogba (tengah) bersama rakan sepasukan, Jessie Lingard (kiri) dan Angel Gomez yang kelihatan kecewa sejurus tamat perlawanan menentang Cardiff City di Ol Trafford, awal pagi tadi. - Foto AFP
Reaksi perancang Manchester United Paul Pogba (tengah) bersama rakan sepasukan, Jessie Lingard (kiri) dan Angel Gomez yang kelihatan kecewa sejurus tamat perlawanan menentang Cardiff City di Ol Trafford, awal pagi tadi. - Foto AFP

Pogba sasaran kecaman penyokong United

MANCHESTER: Paul Pogba dilihat terbabit dalam insiden luar jangkaan apabila dikecam segelintir penyokong sendiri pada hujung perlawanan yang menyaksikan Manchester United dikejutkan 2-0 oleh pasukan yang sudah tersingkir, Cardiff dalam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris di Old Trafford malam tadi.

Ketika kejadian, Pogba yang dirakam tidak memakai baju menuju ke terowong stadium apabila segelintir penyokong United mula memakinya dan meminta Ole Gunnar Solskjaer yang berada berdekatan supaya ‘menendangnya’ keluar.

Pemain Perancis yang terkejut itu sempat menjeling ke arah penyokong namun memohon maaf menerusi gaya tangan dan kemudian melambai kepada penyokong berkenaan sebelum berlalu pergi.

Dalam rakaman lain, seorang penyokong dilihat memaki Pogba tetapi pemain Perancis itu memberikan reaksi supaya penyokong yang marah itu bertenang.

Penyokong lelaki yang tidak puas hati itu turut memuat naik kecemannya menerusi Instagram sebelum sekali lagi memaki Pogba dengan ungkapan 'f*** off'.

Bintang Perancis yang diburu Real Madrid itu jelas menjadi sasaran kecaman penyokong United sehingga dia hilang dalam pandangan di terowong stadium biarpun Pogba musim ini menyumbang 16 gol dan 11 bantuan jaringan.

Skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer diaibkan Cardiff, apabila dihukum menerusi sepakan penalti apabila Nathaniel Mendez-Laing dijatuhkan Diogo Dalot.

Pemain sayap pelawat itu lantas menewaskan David de Gea untuk mendahului 1-0 pada minit ke-23.

Pada babak kedua, Mendez-Laing sekali lagi menemui sasaran selepas merembat hantaran Josh Murphy untuk gol kedua pelawat.

Pogba kemudian dilayangkan kad kuning sekali gus menambah rasa kecewa United di penghujung musim.

Dengan kekalahan memalukan itu, Ole Gunnar Solskjaer kini berdepan tugas berat merombak pasukannya tatkala penyokong United kini menunggu sama ada Pogba masih kekal dalam perancangan pengendali dari Norway itu bagi menghadapi musim depan. – Agensi

Berita Harian X