Selasa, 14 Mei 2019 | 5:32pm
PEMAIN Terengganu, Tchetche Hermann Brice Kipre (kiri) diasak pemain Kuala Lumpur, Mohd Fitri Omar dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. - Foto Owee Ah Chun.

TFC tetap tagih ketajaman Tchetche

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) masih menaruh kepercayaan terhadap ketajaman penyerangnya, Kipre Tchetche bagi mengharungi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

Perkhabaran itu dinyatakan pengendali skuad Penyu, Irfan Bakti Abu Salim selepas pemain yang digelar 'Drogba Ganu’ itu kembali menemui sentuhan berbisanya dalam lima aksi terakhirnya termasuk dalam saingan suku akhir Piala FA.

“Ya pemain itu (Tchetche) akan terus kekal bersama kami selepas kembali mempamerkan aksi sebenarnya termasuk berjaya menamatkan kemarau jaringan, ini perkembangan yang baik buat pasukan dan dirinya.

“Bagaimanapun, kami tuntut pemain itu meningkatkan lagi prestasinya terutama sebagai penjaring kerana dia adalah penyerang utama kita untuk menghasilkan gol dalam setiap perlawanan,” kata Irfan.

Sebelum ini, pemain kelahiran Ivory Coast berusia 32 tahun itu berada dalam radar penyingkiran pada jendela kedua perpindahan pemain yang bermula 2 sehingga 29 Mei selepas kemarau jaringan bermula awal musim hingga ke perlawanan kesembilan liga sebelum berjaya membuka `akaun’ gol ketika bertemu Kelantan United pada aksi pusingan ketiga Piala FA.

Irfan sebelum ini pernah menyatakan beliau sudah ada bayangan pemain import lain yang bakal mengambil alih posisi Tchetche jika pemain itu masih buntu meledak gol.

Tetapi selepas jaringan pertama itu, anak bongsu daripada enam beradik itu berjaya meledak dua gol ketika menumpaskan FELDA United dalam saingan liga selain masing-masing satu gol ketika bertemu Petaling Jaya City FC (PJ City) dan PKNP FC serta satu gol ketika bertemu Pahang pada aksi suku akhir pertama Piala FA dengan mengumpul enam gol setakat ini.

Bekas penyerang kelab Al-Suwaiq (Liga Oman) itu mula menyarung jersi skuad TFC pada Jun 2017 bagi menggantikan bekas penyerang kelahiran Argentina, Federico Falcone yang gagal menyerlah.

Musim lalu anak kepada pensyarah itu berjaya membantu pasukannya muncul juara Piala Malaysia selain berjaya meletak namanya sebagai penjaring kedua terbanyak di belakang penyerang Selangor, Rufino Segovia selepas mencetak 14 gol. 

Berita Harian X