Selasa, 14 Mei 2019 | 9:40pm
PEMAIN Atletico Madrid, Antoine Griezmann masih jadi buruan Barcelona. - Foto EPA

Barca masih buru Griezmann

BARCELONA: Barcelona dijangka merangka satu lagi cubaan bagi mendapatkan Antoine Griezmann dari Atletico Madrid sekali pun penyerang Perancis itu melakar sensasi dengan menolak tawaran kelab Catalan itu tahun lalu, memetik laporan media Sepanyol, hari ini.

Griezmann mencipta kejutan apabila menolak tawaran menyertai juara Sepanyol itu musim lalu, dengan mendedahkan masalah dalaman sebagai punca kegagalan dalam satu dokumentari, The Decision, yang diterbitkan oleh syarikat milik pemain Barca, Gerard Pique.

Dia kemudian menandatangani kontrak baharu bersama Atletico sehingga 2023 dengan klausa perpindahannya ditingkatkan kepada 200 juta euro (RM935.46 juta) tetapi beberapa laporan media melaporkan jumlah berkenaan merosot kepada 120 juta euro (RM561.27 juta) pada 1 Julai ini.

Akhbar Catalan, Sport menerusi laporan muka hadapan berkata Barca sekali lagi bersedia menjadikan Griezmann sasaran utama dan merancang untuk membayar klausa perpindahan berjumlah 120 juta euro (RM561.27 juta) dengan menjual pemain Brazil, Philippe Coutinho.

Coutinho sebelum ini dibeli Barca dengan nilai 165 juta euro (RM771.75 juta).

Akhbar Sepanyol, Marca berkata Atletico percaya perpindahan Griezmann sebagai ‘berkemungkinan’ manakala stesen radio, Cadena Ser melaporkan pemain itu bersedia untuk meninggalkan kelab berpangkalan di Madrid itu selepas mengakhiri kempen tanpa trofi.

Kemelut membabitkan Griezmann jelas memalukan Barca tetapi selepas kekalahan 4-0 kepada Liverpool di separuh akhir Liga Juara-Juara musim ini, kelab itu dijangka bersedia untuk merombak pasukan menjelang musim depan.

Griezmann menjadi tonggak Atletico sejak menyertai kelab itu dari Real Sociedad pada 2014 perbelanjaan kelab itu meningkat berikutan peningkatan gajinya, dengan Marca melaporkan ia melebihi 20 juta euro (RM93.55 juta) setahun selepas cukai.

Atletico sudah bersedia untuk menjual pertahanan Perancis, Lucas Hernandez ke Bayern Munich dengan nilai 80 juta euro (RM374.18 juta) manakala kaptennya, Diego Godin membuat pengumuman akan meninggalkan kelab itu pada penghujung musim. - REUTERS

 

 

529 dibaca
Berita Harian X