Rabu, 15 Mei 2019 | 8:24am
Pogba kian pasti meninggalkan Old Trafford. - Foto Reuters

Pogba hampir pasti tinggalkan Old Trafford

LONDON: Pemain Manchester United, Paul Pogba kian pasti meninggalkan Old Trafford dan dijangka akan menyertai sama ada Real Madrid atau kembali ke pangkuan Juventus musim panas ini, lapor media Itali, semalam.

Masa depan Pogba bersama United samar selepas kelab itu gagal menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik di Liga Perdana Inggeris musim ini.

Menurut sumber, Pogba dijangka akan bersemuka dengan bos United dalam masa terdekat untuk memberitahu hasratnya meninggalkan Old Trafford, Jun ini.

Pogba dikatakan berminat kembali ke pangkuan Juventus tetapi bos Real Madrid, Zinedine Zidane dan Presidennya, Florentino Perez dikatakan sudah bersedia menjual Gareth Bale untuk mendapatkan bintang Perancis itu.

Difahamkan, Bale, yang kerap mengeluh kurang diberi peranan di Madrid musim ini dijadikan umpan terbaik mempercepatkan proses mendapatkan Pogba.

Langkah Pogba, 26, di Old Trafford musim ini kurang menjadi apabila kelab itu terus bergelut biarpun United membelinya pada harga rekod dunia £89 juta (RM490 juta) pada musim panas 2016.

Perpisahan pemain Perancis itu semakin hampir apabila ejennya, Mino Raiola yang lesenya digantung oleh FIFA baru-baru ini membatalkan satu mesyuarat bersama United berhubung kontrak baharu milik pemain tengah Perancis yang kontroversi itu. - Agensi

Berita Harian X