Rabu, 15 Mei 2019 | 8:50pm
JURULATIH PKNP FC, Abu Bakar Fadzim. - Foto Effendy Rashid

PKNP intai khidmat import baru

IPOH: Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim terpaksa mendapatkan khidmat pemain import baharu dari Brazil dalam usaha meletakkan kelab itu di kedudukan lapan pasukan teratas Liga Super musim ini.

Khidmat pemain baharu itu amat diperlukan berikutan ketiadaan tonggak utama, Thomas Abbey yang mengalami kecederaan retak tulang kaki dan terpaksa direhatkan selama lapan minggu untuk pulih. 

"Abbey terpaksa keluar dari pasukan susulan kecederaan itu dan tempoh masa lapan minggu adalah jangka masa yang lama untuk PKNP. 

"Cadangan saya, kita tidak boleh menunggu lama untuk saingan musim ini yang berbaki sembilan perlawanan lagi," kata Abu Bakar pada sidang media selepas perlawanan Liga Super di sini, semalam. 

Dalam aksi menentang Perak itu, tuan rumah meneruskan rentak cemerlang apabila menang 3-1 menewaskan PKNP sekali gus meletakkan pasukan itu tangga kelima manakala pasukan 'adik' kekal di tangga ke-10. 

Mengulas persembahan pasukannya pada perlawanan itu, beliau berkata pemainnya dilihat agak hilang fokus sebaik Perak mendahului seawal minit keenam.

Justeru berikutan persaingan yang semakin sengit, Abu Bakar tetap yakin pasukannya berupaya mengakhiri saingan dalam kelompok lapan terbaik Liga Super musim ini. 

"Saya harapkan kehadiran pemain baru yang akan diumumkan minggu ini bagi menggantikan Abbey dapat menyumbang mata dalam saingan sekali gus melonjakkan prestasi kelab musim ini. 

"Dalam aksi tadi (semalam), dari segi pengakhiran dan pengalaman, satu gol belum mencukupi namun kita memerlukan tenaga tambahan untuk tambah keyakinan pemain bagi mendapat sentuhan baru dalam perlawanan bertemu Selangor. 

"Kita akan kehilangan Giancarlo kerana tiga kad kuning yang dilayangkan namun keperluan untuk dapatkan pemain baru sangat penting bagi mengimbangi pasukan," katanya.

Berita Harian X