Sabtu, 18 Mei 2019 | 12:10am
PEMAIN Kuala Lumpur, Ashri Chuchu (tengah) diasak pemain Petaling Jaya (PJ) City pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi. - Foto BERNAMA

Safee cetus kemenangan PJ City

KUALA LUMPUR: Bekas penyerang kebangsaan Safee Sali muncul wira Petaling Jaya (PJ) City selepas jaringannya pada lewat permainan membolehkan pasukan itu menundukkan Kuala Lumpur 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Malah, jaringan tunggal pemain veteran itu turut membolehkan anak buah K Devan melakar kemenangan hatrik dalam tiga perlawanan terakhir liga selepas menundukkan dua gergasi Pantai Timur, Pahang dan Terengganu sebelum ini. 

Bagi Kuala Lumpur pula, kekalahan itu menyaksikan mereka melepaskan peluang untuk keluar dari zon penyingkiran. 


PEMAIN Petaling Jaya (PJ) City, Wahsington Brando Dos Santos (dua dari kiri) diasak pemain Kuala Lumpur, Ryutaro Karube pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi. - Foto Syarafiq Abd Samad

Kuala Lumpur terlepas peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-34 selepas rembatan Zhafri Yahya di dalam kotak penalti melambung tinggi.

PJ City turut mendapat peluang keemasan untuk berada di depan pada minit ke-49, namun tandukan Washington Dos Santos dinafikan kecemerlangan penjaga gol Kuala Lumpur, Faridzuean Kamaruddin.

Lapan minit sebelum tamat perlawanan, giliran penjaga gol PJ City pula bertindak cemerlang apabila menyelamatkan tandukan Paulo Josue yang berpunca daripada hantaran Ashri Chuchu. 

Ketika perlawanan dilihat akan berkesudahan seri, Safee akhirnya muncul wira PJ City selepas menyudahkan hantaran Dos Santos pada minit ke-90 untuk memastikan tiga mata penting buat tuan rumah.

1986 dibaca
Berita Harian X