Rabu, 22 Mei 2019 | 11:02am
DANIEL James. - Foto AFP
DANIEL James. - Foto AFP

United mahu dapatkan James

LONDON: Manchester United dilaporkan sudah mencapai persetujuan dengan perjanjian bernilai £15 juta (RM79.8 juta) untuk mendapatkan pemain sayap Swansea City, Daniel James.

Sportsmail mendedahkan awal bulan ini bahawa United muncul calon pilihan berminat menandatangani pemain sayap antarabangsa Wales berusia 21 tahun itu.

Dan persetujuan kini sudah dicapai antara kedua-dua kelab tatkala Ole Gunnar Solskjaer sedang membangunkan semula skuad jangka masa panjang United.

Brighton, Everton dan Newcastle United turut berminat untuk mendapatkan James, bagaimanapun United mengemukakan tawaran yuran dan gaji paling menarik.

James berjaya menarik perhatian United selepas mengharungi kempen hebat di Swansea, membuat 38 penampilan, menyumbat lima gol dan melakukan 10 umpanan gol.

Dia turut memecah masuk ke dalam skuad utama Wales pada musim ini, beraksi dua kali untuk pasukan bekas pemain sayap United, Ryan Giggs itu dan menghasilkan gol dalam penampilan sulung menentang Slovakia.

James boleh beraksi di kedua-dua posisi sayap selain di tengah, namun United merasakan dia adalah pemain sayap kanan sejati dan sudah membuat penilaian terperinci berhubung posisinya itu. - Agensi

Berita Harian X