Rabu, 22 Mei 2019 | 11:17pm
PEMILIK kaya raya Chelsea, Roman Abramovich.

Chelsea 'lebur' RM492.98 juta pecat jurulatih

LONDON: Chelsea pada minggu ini diarahkan oleh mahkamah supaya membayar Antonio Conte pampasan berjumlah £9 juta (RM47.67 juta) yang menyaksikan perbelanjaan terhadap pengurus yang dipecat meningkat kepada £92.9 juta (RM492.98 juta) sejak 2004.

Mangsa terbaharu, Conte disingkirkan pada Julai lalu sekali pun membimbing Chelsea memenangi Piala FA tetapi gagal membawa pasukannya layak ke saingan Liga Juara-Juara, musim ini.

Pemilik kaya raya Chelsea Roman Abramovich tampak tidak bermasalah untuk menyisihkan pengurus yang disifatkannya sebagai gagal sejak membeli kelab itu pada 2004 dan berikut adalah senarai ‘mangsanya’.

CLAUDIO RANIERI, Mei 2004

Pampasan: £6 juta (RM31.83 juta)

Pemecatan Ranieri tidak mengejutkan dengan Abramovich yang baharu membeli kelab itu memang bersedia untuk melakukan perubahan besar-besaran terhadap The Blues.

JOSE MOURINHO, September 2007

Pampasan: £23.1 juta (RM122.54 juta) termasuk staf kejurulatihan

Chelsea membuat kejutan apabila memecat pengendali dianggap ‘legenda’ kelab itu Mourinho yang menghadiahkan mereka pelbagai kejayaan dan apa yang dibayar kepadanya cukup tinggi. Malah, jumlah yang dibayar turut menjejaskan laporan kewangan The Blues bagi musim berikutnya.

AVRAM GRANT, Mei 2008

Pampasan: £5.2 juta (RM27.58 juta)

Grant menyifatkan pemecatannya sebagai ‘pengkhianatan, kekecewaan dan marah’ dengan penyingkirannya hadir beberapa hari selepas Chelsea tewas di final Liga Juara-Juara kepada Manchester United.

LUIZ FELIPE SCOLARI, Februari 2009

Pampasan: £12.6 juta (RM66.84 juta)

Kurang setahun selepas memecat Grant, pengurus legenda Brazil, Luiz Felipe Scolari menjadi mangsa seterusnya tetapi apa yang diperoleh pengendali itu cukup lumayan untuk kerja yang dilakukan selama tujuh bulan. Chelsea gagal menjadi pencabar tulen Liga Perdana di bawah kendaliannya dan menamatkan saingan liga tujuh mata di belakang juara, Manchester United.

CARLO ANCELOTTI, Mei 2011

Pampasan: £6 juta (RM31.83 juta)

Chelsea memecat Ancelotti selepas beliau menamatkan musim keduanya bersama kelab itu tanpa menjulang sebarang trofi. Pada musim pertamanya (2009-10) beliau menikmati kejuaraan berganda memenangi Liga Perdana dan Piala FA.

 

ANDRE VILLAS-BOAS, Mac 2012

Pampasan: £12 juta (RM63.66 juta)

Villas-Boas memperoleh bayaran lumayan untuk tempoh singkat selama sembilan bulan di Stamford Bridge. Agak mengejutkan, Chelsea ketika itu masih berjuang dalam kempen Liga Juara-Juara dan Piala FA selain bersaing bagi kedudukan empat terbaik Liga Perdana.

ROBERTO DI MATTEO, November 2012

Pampasan: £10.7 juta (RM56.76 juta)

Di Matteo memenangi Liga Juara-Juara dan Piala FA sebagai pengurus sementara dan dianugerahkan perjanjian tetap selama dua tahun. Tetapi lapan bulan kemudian, beliau dipecat susulan kekalahan kepada Juventus di Liga Juara-Juara.

RAFA BENITEZ, Mei 2013

Pampasan: Tiada

Benitez yang bertugas sebagai ‘pengurus sementara’ mengakui kecewa dengan pemecatannya. “Peminat tidak membantu kami. Pada penghujung musim, saya akan pergi. Mereka tidak perlu bimbang dengan saya.”

JOSE MOURINHO, Disember 2015

Pampasan: £8.3 juta (RM44.03 juta) untuknya dan staf kejurulatihan

Chelsea memecat Mourinho buat kali kedua, kurang tujuh bulan selepas beliau menghadiahkan kelab itu trofi Liga Perdana. The Blues tewas sembilan daripada 16 perlawanan liga dan menghuni tangga ke-16, hanya satu mata di atas zon penyingkiran ketika penyingkirannya.

GUUS HIDDINK, Mei 2016

Pampasan: Tiada

Hiddink mengambil alih tugas mengemudi Chelsea secara sementara susulan pemecatan Mourinho. Beliau tidak memperoleh jawatan tetap selepas tidak bersependapat dengan Abramovich.

ANTONIO CONTE, Julai 2018

Pampasan: £9 juta (RM47.74 juta)

Ketika ramai yang menjangkakan Conte bakal dipecat, bekas pengurus Juventus itu tetap hadir ke sesi latihan pra-musim pasukan bagi musim 2018-19 sebelum menerima khabar pilu.

Selain menjulang Piala FA pada musim 2017-18, Conte turut menghadiahkan Chelsea kejuaraan Liga Perdana pada musim pertamanya di London pada kempen 2016-17. - AGENSI

3133 dibaca
Berita Harian X