Selasa, 28 Mei 2019 | 8:48pm
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. - Arkib NSTP

Tiket 'Beli 1 Percuma 1' bagi perlawanan menentang Timor Leste

KUALA LUMPUR: Sebagai menghargai sokongan peminat terhadap Harimau Malaya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan 'belanja' penyokong yang akan hadir menyaksikan perlawanan playoff Kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Timor Leste pada 7 dan 11 Jun ini.

Sempena Hari Raya Aidilfitri, badan induk berkenaan menawarkan promosi 'Beli 1 Percuma 1' bagi tiket kedua-dua perlawanan terbabit yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari raya ketiga dan ketujuh.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya berharap penyokong dapat memberikan sokongan padu kepada skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe.

"Harga tiket ditetapkan bagi setiap perlawanan adalah sama seperti perlawanan Kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia sebelum ini iaitu RM30 bagi tempat duduk terbuka, RM50 bagi tempat duduk grand stand dan RM5 bagi tiket kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.

"Bagaimanapun, dengan tawaran promosi 'Beli 1 Percuma 1' ini, penyokong akan memperoleh dua tiket pada satu harga apabila mereka hadir ke stadium bagi menonton perlawanan pada 7 Jun atau pada 11 Jun nanti, bagi semua kategori tiket iaitu grandstand, terbuka dan kanak-kanak," katanya.

Pembelian tiket secara online di www.tickethotline.com.my akan bermula pada hari ini manakala pembelian di kaunter tiket stadium adalah pada hari perlawanan iaitu pada 7 dan 11 Jun.

Bagi memastikan kelancaran kemasukan penyokong ke stadium untuk kedua-dua perlawanan itu nanti, penggunaan Kod QR diperkenalkan FAM pada perlawanan membabitkan pasukan kebangsaan, tahun ini akan diteruskan.

Berita Harian X