Khamis, 30 Mei 2019 | 1:53pm
PEMAIN Chelsea, Eden Hazard meraikan jaringan bersama Kante.

Hazard berhak dilepaskan - Kante

BAKU: Eden Hazard terus mencuri tumpuan apabila meledak dua gol ketika Chelsea menewaskan Arsenal 4-1 di final Liga Europa, awal pagi tadi dan kerana itu, rakan sepasukannya N'Golo Kante percaya bintang Belgium itu berhak untuk dilepaskan.

Perlawanan di Stadium Olimpik, Baku diakui sendiri Hazard mungkin penampilan terakhirnya bersama Chelsea dengan gergasi Sepanyol, Real Madrid berpotensi menjadi destinasinya selepas ini.

Sekali pun ketiadaan Hazard akan meninggalkan lompong besar buat Blues, pemain tengah Perancis, Kante tidak kecewa dengan situasi berkenaan dan menganggap wajar untuk kelab itu membenarkannya keluar.

“Ia tidak sedih. Saya fikir Eden melakukan kerja yang menakjubkan, mengharungi tempoh yang mengagumkan bersama Chelsea,” kata Kante. “Dia kekal di sini agak lama, dia memenangi banyak trofi. Dia bermain dengan hebat malam ini. Kami amat gembira untuknya.

“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini tetapi kami hanya boleh mengucapkan yang terbaik untuknya atas apa yang dilakukannya untuk Chelsea. Suatu yang membanggakan untuk bermain bersama-samanya dan kita lihat apa yang akan berlaku.”

Sekalipun mungkin kehilangan Hazard, Chelsea masih memiliki pemenang Piala Dunia 2018, Kante bagi menguatkan pasukan itu musim depan.

Bekas pemain Leicester City itu mengharungi aksi 90 minit di Baku sekali pun mengalami kecederaan kecil beberapa hari sebelum aksi final ketika pengurus Maurizio Sarri menyatakan peluangnya untuk bermain adalah 50-50.

“Saya sedikit bimbang kerana lutut saya terseliuh pada Sabtu lalu,” kata Kante. “Staf melakukan tugas yang menakjubkan untuk saya bersedia bagi aksi final. Saya bersedia untuk bermain dan gembira bersama pasukan.” - AGENSI

Berita Harian X