Ahad, 2 Jun 2019 | 4:58pm
Penyerang import dari Namibia, Lazarus Kaimbi.
Penyerang import dari Namibia, Lazarus Kaimbi.

Rakan mahu Kaimbi lebih padu depan gol

KUANTAN: Kehadiran penyerang import dari Namibia, Lazarus Kaimbi diyakini dapat membantu memperkuatkan kembali serangan skuad Pahang bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.  

Justeru, tidak hairanlah pemain skuad Tok Gajah mahu penyerang import berumur 31 tahun itu lebih padu merobek gawang lawan sebaik jadual perlawanan Liga Super bersambung pada 14 Jun ini.  

Bagi pemain pertahanan, Mohd Faisal Rosli, Kaimbi dilihat mampu mengatasi masalah ketumpulan di bahagian serangan skuad itu dalam beberapa perlawanan lalu.  

"Saya lihat dia (Kaimbi) memenuhi kehendak pasukan dan kepercayaan yang diberikan pengurusan (Persatuan Bolasepak Negeri Pahang).  

"Dengan kehadiran Kaimbi, kami mengharapkan skuad Pahang kembali dengan prestasi lebih konsisten," kata Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Tocang.  

Sementara itu, pemain tengah, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria berkata, kehadiran Kaimbi sememangnya dinantikan untuk memastikan jentera serangan Pahang lebih berbisa. 

Katanya, larian pantas dan kemahiran dimiliki penyerang itu mampu memberi tekanan kepada pasukan lawan. 

"Selepas menjalani latihan bersama Kaimbi, saya percaya misi kami untuk memperkuatkan serangan akan tercapai terutama sokongan daripada rakan sepasukan," kata Wan Zaharulnizam atau Kecik.  

Pada jendela perpindahan kedua, Pahang memutuskan Kaimbi menggantikan Jose Eduardo atau Ze Love yang ditamatkan kontrak lebih awal atas faktor prestasi dan kecederaan.  

Justeru, Kaimbi yang pernah menyarung jersi skuad Kelantan bakal bergandingan dengan Dickson Nwakaeme untuk memperkuatkan jentera serangan skuad Tok Gajah.

Berita Harian X