Isnin, 3 Jun 2019 | 6:01pm
FRANZ Beckenbauer mahu melihat Juergen Klopp di Bayern Munich. - Foto AFP
FRANZ Beckenbauer mahu melihat Juergen Klopp di Bayern Munich. - Foto AFP

Saya nak lihat Klopp di Bayern - Beckenbauer

BERLIN: Legenda bola sepak Jerman, Franz Beckenbauer berkata hari ini dia mahu melihat jurulatih Liverpool, Juergen Klopp di Bayern Munich.

Ketika dia meraikan kejayaan Klopp pada final Liga Juara-Juara, Beckenbauer memberitahu akhbar Bild bahawa dia terdesak untuk melihat bekas jurulatih Dortmund itu menyertai juara Bundesliga, Bayern.

“Tidak ada apa yang saya mahukan selain melihat Klopp datang ke Bayern satu hari nanti, ia pasti sesuatu yang paling sesuai,” kata legenda berusia 73 tahun itu yang menang lima gelaran Jerman bersama Bayern selaku pemain dan jurulatih.

Kejayaan pertama Klopp dalam Liga Juara-Juara disambut meriah dalam media sukan Jerman.

Semalam akhbar Kicker mengeluarkan tajuk “Raja Klopp” di muka depan dan menggambarkan pengurus Liverpool itu sebagai “wajah sebenar bola sepak Jerman.”

Beckenbauer juga bersetuju dengan sentimen berkenaan dalam temubual dengan Bild sambil menggelar Klopp “seorang daripada jurulatih terbaik dunia.”

“Juergen membawa gaya baharu bola sepak ke Jerman... apa yang dimulakannya di Dortmund, diperbaiki di Liverpool.” - AFP

Berita Harian X