Rabu, 5 Jun 2019 | 8:21pm
LENNART Johansson
LENNART Johansson

Bapa Liga Juara-Juara meninggal dunia

LONDON: Bekas Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) yang juga ‘Bapa Liga Juara Juara’, Lennart Johansson meninggal dunia pada usia 89 tahun.

Perkembangan itu diumumkan Persekutuan Bolasepak Sweden, hari ini.

“Bola sepak Sweden meratapi pemergian Lennart Johansson. Dia meninggal dunia pada petang 4 Jun pada usia 89 tahun dan pemergiannya dalam keadaan yang tenang,” kata persekutuan itu.

Ketika Johansson mengemudi badan induk Eropah itu sejak 1990-2007, Liga Juara Juara diperkenalkan dan bola sepak ditransformasikan kepada perniagaan yang global dengan tarikan meluas dan pendapatan dijana menerusi televisyen.

Pengumuman kematian Johansson dibuat menjelang pembukaan Kongres Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di mana delegasi termasuk Presiden FIFA, Gianni Infantino memberikan penghormatan dan bertafakur seminit kepada mendiang.

“Saya begitu sedih dengan pemergian 

Lennart Johansson,” kata Infantino dalam kenyataan.

“Dia adalah sahabat dan sumber inspirasi serta pengetahuan yang tidak ternilai.

“Saya amat bersyukur dengan kehadirannya selaku Presiden UEFA ketika saya mula menyertai organisasi ini pada 2000.

“Sejak itu, Lennart sentiasa menjadi model profesionalisme dan juga kemanusiaan.”

Presiden UEFA, Aleksander Ceferin menyifatkan Johansson sebagai ‘petugas bola sepak yang akan sentiasa dikenang sebagai arkitek Liga Juara Juara. - AFP

Berita Harian X